Thursday, September 23, 2010

Polis Mesir pukul aktivis antikerajaan


PENUNJUK-penunjuk perasaan bergelut dengan polis Mesir yang mahu menyuraikan mereka semasa mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan bekas istana diraja di pusat bandar Kaherah, semalam. Gambar kanan dua anggota polis berpakaian biasa memukul seorang aktivis di tempat yang sama. - AP/ AFP


KAHERAH 22 Sept. - Polis Mesir semalam memukul dan menahan aktivis antikerajaan yang melancarkan bantahan berikutan khabar angin mengatakan anak lelaki kepada Presiden Hosni Mubarak mungkin menggantikan bapanya sebagai pemimpin negara ini.
Kira-kira 300 penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan, mengibarkan bendera dan membakar gambar Gamal, 46, ketika beratus-ratus anggota polis rusuhan berpakaian seragam hitam mengepung ketat pembantah, di depan bangunan bekas istana diraja di pusat bandar Kaherah.
Kebanyakan penunjuk perasaan turut disekat polis daripada menghampiri kawasan tersebut, malah tolak-menolak turut berlaku antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan dan sebahagian aktivis ditahan sebelum dibawa ke van-van polis berhampiran.
Sekurang-kurangnya seorang wanita diheret dan dipukul pegawai polis wanita.
Polis turut merampas pita video dari jurukamera BBC dan al-Jazeera, kata wartawan dua agensi berita itu.
Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata, seramai 60 aktivis ditahan di dalam van polis semasa tunjuk perasaan tersebut.
Wakil dari sebuah pergerakan remaja mengesahkan, sekurang-kurangnya 30 ahlinya ditahan ketika cuba menghampiri kawasan tunjuk perasaan.
Seorang lagi pegawai keselamatan berkata, demonstrasi sama turut berlaku di bandar kedua Mesir, Iskandariah di Laut Mediterranean, mengakibatkan 25 cedera.
Perhimpunan itu membantah khabar angin tentang rancangan Mubarak, 82, digantikan oleh Gamal, yang kini merupakan anggota berpangkat tinggi parti pemerintah.
Bantahan berlaku dua bulan sebelum pilihan raya Parlimen dan setahun sebelum pilihan raya Presiden.
Mubarak buat masa ini masih belum mengumumkan sama ada beliau akan bertanding untuk satu lagi penggal dan meneruskan pemerintahan hampir 30 tahun. - AP

No comments:

Post a Comment