Thursday, September 23, 2010

Sedia khidmat guaman pemerhati

AMPANG: Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno bersedia memberikan khidmat guaman pemerhati kepada keluarga Perunding Kewangan Peribadi CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, yang dibunuh secara kejam bersama Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dipercayai pada 30 Ogos lalu.
Pengerusinya, Datuk Muhammad Khairun Aseh, berkata peguam pemerhati itu akan disediakan kepada keluarga mangsa apabila kes berkenaan didakwa di mahkamah kelak.
Menurutnya, Umno Bahagian dan Pemuda Pandan menyatakan hasrat meminta Pemuda Umno Malaysia dan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno menyediakan khidmat peguam pemerhati apabila pendakwaan dijalankan tak lama lagi.

“Pihak biro bersedia menunaikan hasrat itu menerusi panel guaman kami. Saya juga sudah menghubungi bapa mentua mangsa, Ishak Radin Pangat dan beliau terharu serta positif dengan bantuan disalurkan demi menegakkan keadilan menantunya dalam kes ini.

“Secara amnya beliau bersetuju, namun mahukan penerangan lanjut secara teknikal. Saya beritahu mereka apabila (mereka) pulang ke KL (Kuala Lumpur) nanti, saya akan beri penerangan lanjut kerana prosedurnya (mendapatkan peguam pemerhati) sangat mudah,” katanya ketika melawat rumah keluarga Noorhisham di Taman Seraya, Ampang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pandan, Hishamuddin Muhamad yang juga Pengerusi Pemuda BN Parlimen Pandan.

Pada lawatan itu Muhd Khairun menyerahkan surat bantuan guaman untuk melantik peguam kepada Timbalan Ketua Umno Cawangan Taman Seraya, Bahagian Pandan, Ismail Hasyim yang mewakil keluarga mangsa.

Isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 38, dan tiga anak Allahyarham yang berusia lima hingga 15 tahun pulang ke kampung di Johor sejak Ahad lalu untuk menenangkan fikiran.

No comments:

Post a Comment