Thursday, September 23, 2010

Permintaan had plat MCA telah ditolak - Tee keat


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Permintaan supaya nombor plat kenderaan berhuruf MCA dihadkan kepada golongan tertentu telah ditolak pada awal Mac lalu oleh Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Tee Keat ketika menjelaskan perkara itu memberitahu, permintaan itu dibuat pada Februari lalu ketika beliau bercuti selepas menjalani pembedahan tumit.
"Selepas memulakan kerja pada awal Mac, antara perkara yang dibawa kepada perhatian saya ialah berkenaan isu nombor plat MCA ini yang disampaikan kepada saya menerusi satu memo, bukannya surat daripada setiausaha saya pada ketika itu.
"Saya menolak permintaan itu dan mengarahkan supaya tiada sebarang nombor plat bukan sahaja dari Melaka, malah negeri lain tidak boleh mengadakan sekatan terhadap nombor plat kenderaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menunjukkan bukti bahawa terdapat individu yang cuba mengehadkan nombor plat dengan huruf tersebut kepada golongan tertentu sahaja.
Cho Ha menunjukkan surat bertarikh 17 Februari 2010 ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Tee Keat yang mahu nombor plat berhuruf 'MCA' tidak dibuka kepada tender awam.
Mengulas lanjut, Tee Keat berkata, memo yang disampaikan itu ekoran terdapat beberapa ahli MCA melobi dan mencadangkan supaya sekatan terhadap nombor plat dengan huruf tersebut dilaksanakan.
Bekas Presiden MCA itu kecewa terhadap Cho Ha yang tidak merujuk perkara itu kepadanya terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.
"Saya terkilan dengan Cho Ha kerana beliau tidak memastikan terlebih dahulu sama ada memo itu sahih atau tidak kerana ia tidak ditandatangani oleh saya sendiri," katanya.
"Setiausaha Agung MCA itu seharusnya bertanya kepada saya supaya saya boleh jelaskan apa sebenarnya berlaku. Walaupun bukan lagi Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA, saya tidak menghilangkan diri," katanya.

No comments:

Post a Comment