Friday, October 8, 2010

Pas minta BN tidak guna jentera kerajaan



KUALA TERENGGANU - Pas sekali lagi mengingatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar berkempen secara ‘gentleman’ pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. 

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, BN dikatakan tidak berkempen dengan cara adil apabila sentiasa menggunakan jentera kerajaan, media di samping mendakwa turut menggunakan politik wang setiap kali pilihan raya berlangsung. 

“Kita minta UMNO bersikap ‘gentleman’ dengan tidak menggunakan peralatan kerajaan ke kawasan tersebut atau politik wang dan media dalam pilihan raya kecil,” katanya, semalam. 

Berdasar pengalaman lalu katanya, walaupun BN sentiasa diingatkan adil dalam pilihan raya, namun mereka sentiasa menggunakan jentera kerajaan dan media untuk menghentam pembangkang selain menabur janji dan wang kepada rakyat melalui projek dan sebagainya. 

“Mereka takut pada kekalahan dan perkara sedemikian biasa berlaku setiap kali pilihan raya dengan menggunakan sepenuh tenaga untuk ‘survival’ politik mereka,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan akan berpihak kepada BN sekiranya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi calon di DUN Galas, beliau menganggap sesiapa sahaja berhak membuat ramalan. 

Bagi Pas katanya, mereka bersedia ‘bertempur’ di Galas bagi mengekalkan kerusi DUN tersebut dan tidak peduli siapa dicalonkan BN.

No comments:

Post a Comment