Friday, October 8, 2010

Pas optimis menang, namun mahu jadi ‘underdog’



KUALA LUMPUR – Pas meletakkan parti itu sebagai ‘underdog’ biarpun optimis akan menang dan berupaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini. 

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, keyakinan itu berdasarkan analisis aliran undi pada pilihan raya umum lalu. 

Menurutnya, pada pilihan raya itu, jumlah pengundi di DUN Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826 undian, manakala calon Pas mendapat sebanyak 4,143. 

“Dari segi (perangkaan) ini sahaja, kalau Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) menjadi calon, dia (BN) akan kalah. Berdasarkan perangkaan ini, tidak sukar Pas pertahankan kerusi itu. 

“Jadi fenomena ini, kita tengok tidaklah sukar sangat untuk kita tidak pertahankan kerusi ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas di sini semalam. 

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun mengakui kedudukan Tengku Razaleigh akan mempenga�ruhi persekitaran pilihan raya kecil kali ini. 

Pas katanya, turut meletakkan sasaran 30 peratus sokongan terhadap pengundi Orang Asli. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pelantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Galas, yang dianggap sebagai ‘senjata rahsia’ UMNO itu mungkin membawa padah. 

“Pas menganggap Ku Li pemimpin paling berpengaruh di Gua Musang. Kita hormatinya dan kita tidak boleh pandang mudah. Saya yakin Datuk Abdul Halim dan jentera operasi akan memainkan peranan,” katanya. 

Ditanya mengenai calon Pas yang akan bertanding, beliau berkata Pas dijangka akan bermesyuarat membincangkan perkara tersebut minggu hadapan selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada Pas Kelantan.

No comments:

Post a Comment