Thursday, July 21, 2011

Cameron pertahan kakitangannya



David Cameron, diapit oleh timbalannya, Nick Clegg (kiri) dan Menteri Kewangan, George Osborne, berucap mengenai isu skandal penggodaman telefon oleh akhbar News of the Worldpada sidang khas Parlimen di London, semalam. - REUTERS


LONDON 20 Julai - Perdana Menteri Britain, David Cameron hari ini mempertahankan pendekatan yang digunakan oleh kakitangannya dalam menangani skandal penggodaman telefon dan rasuah akhbar Britain milik hartawan media, Rupert Murdoch yang membabitkan polis.

Cameron juga melahirkan kekesalan berhubung keputusannya dalam mengambil bekas pengarang akhbar News of the World, Andy Coulson sebagai ketua pasukan medianya selepas beliau meletakkan jawatan daripada akhbar tabloid itu ekoran skandal berkenaan.

Coulson menafikan sebarang pengetahuan mengenai kegiatan penggodaman tersebut.

''Sekiranya saya tahu, saya tentu tidak akan menawarkan beliau pekerjaan itu dan saya jangka beliau juga tidak akan menerimanya,'' katanya di Parlimen.

Beliau berucap pada permulaan sesi khas Parlimen bagi membincangkan krisis penggodaman telefon melibatkan empayar media Murdoch yang memberi kesan kepada polis dan meningkatkan persoalan berhubung keputusan Cameron itu.

Perdana Menteri Britain itu berkata, beliau akan memohon maaf jika didapati Coulson mempunyai peranan dalam skandal berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak melanggar tata laku seorang menteri dan mempertahankan tindakan kakitangannya.

''E-mel penuh antara ketua kakitangan saya dan John Yates (bekas Penolong Pesuruhjaya Scotland Yard) telah didedahkan dan ia menunjukkan kakitangan saya tidak melakukan sebarang kesalahan,'' ujarnya.

Ketua kakitangan Cameron berhenti memaklumkan perkembangan skandal berkenaan kepada Perdana Menteri itu sejak September lalu, beberapa hari selepas New York Timesmenyiarkan artikel mendakwa Coulson sedar berlaku penggodaman telefon apabila beliau menyunting News of the World.

Pemimpin pembangkang, Ed Miliband berkata, sudah tiba masa Cameron memohon maaf kerana mengambil Coulson bekerja dalam pasukannya.

Cameron pulang ke London lewat malam tadi selepas memendekkan lawatannya ke Afrika bagi membolehkan beliau berucap di dewan rendah Parlimen, House of Commons dan menjawab soalan ahli dewan mengenai pertalian beliau dengan empayar media Murdoch.

Murdoch, 80, yang berasal dari Australia berkata, kehadirannya di hadapan sebuah jawatankuasa Parlimen Britain semalam 'membuat beliau berasa begitu rendah diri', tetapi sesi keterangan itu terganggu apabila seorang penunjuk perasaan cuba membaling piring kertas mengandungi krim pencukur ke mukanya.

Isteri Pengerusi News Corporation itu, Wendi Deng bangun lalu menampar penyerang yang ditangkap dan dibawa keluar oleh polis, sebelum jawatankuasa Parlimen kembali menyoal Murdoch dan anak lelakinya, James.

Serangan itu berlaku hampir pada penghujung sesi keterangan selama lebih dua jam yang menyaksikan Murdoch menafikan beliau secara muktamadnya memikul tanggungjawab terhadap skandal yang memaksanya menutup akhbar News of the World.

Skandal itu menggegarkan empayar media Murdoch, memaksa dua ketua polis Britain meletakkan jawatan dan meletakkan Cameron dalam keadaan sangat tertekan. - AFP/ REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment