Thursday, July 21, 2011

Ibu tak yakin anak dipenjara

GEORGETOWN: “Kalau benar dia (anak) ditahan dan dipenjara di luar negara tentu pihak berkuasa kita atau konsulat akan memaklumkannya kepada saya.

“Ini tidak, hanya seorang wanita mendakwa teman wanitanya memberitahu anak saya kini ditahan di Indonesia kerana masalah permit kerja,” kata Chua Gaik Kim, 64, yang kini buntu dan curiga memikirkan nasib anak bongsunya, Mohd Hashimi Hoo Abdullah, 39.


Chua dari Lebuh Maccalum di sini, mendakwa dia diberitahu Mohd Hashimi kini dipenjarakan di Rutan Salemba, Jakarta.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa berlaku kepada anaknya itu, tetapi selepas sekian lama tidak dihubungi anak kesayangannya itu, dia cuba menghubunginya bagi bertanya khabar.


Katanya, ketika menghubungi anaknya, talian telefon kurang jelas lalu mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira jam 6.45 petang, Ahad lalu.


“Saya terkejut kerana bukan anak saya membalas SMS itu sebaliknya seorang wanita bernama Ana yang mengaku teman wanita Mohd Hashimi.

“Dalam SMS itu Ana beritahu berlaku sesuatu kepada Mohd Hashimi dan sejak 30 Mac lalu, dia ditahan pihak berkuasa kerana masalah permit kerja. “Peluang untuk bercakap dengan Mohd Hashimi hanya jika melawatnya di penjara,” katanya di sini, semalam.


Dia juga turut diberitahu jika ingin melawat anaknya di penjara, boleh menghubungi teman wanitanya.

Bagaimanapun, Chua curiga kerana jika benar anaknya dipenjarakan, sudah tentu konsulat atau pihak berkuasa menghubunginya.


Menurutnya, Mohd Hashimi sering berulang alik antara Malaysia dan Indonesia kerana bekerja di sana.


“Sebagai ibu, perasaan bimbang menyelubungi walaupun tidak pasti anak saya benar-benar dipenjarakan atau tidak,” katanya.


Menurutnya, dia sudah membuat satu laporan di Balai Polis Central jam 10.13 pagi kelmarin dan merujuk masalah itu kepada Konsulat Indonesia di Pulau Pinang untuk bantuan.


Beliau berkata, dia amat merindui anaknya dan jika benar dia ditahan, Chua berharap ada pihak sudi membantu membebaskan anaknya dan membawa pulang ke tanah air.

myMetro | Ibu tak yakin anak dipenjara

No comments:

Post a Comment