Thursday, July 21, 2011

Peniaga dilarang guna tisu tandas



KOTA BHARU - Peniaga makanan di sekitar bandar ini bakal dikenakan tindakan kompaun RM500 sekiranya masih menyediakan tisu tandas atau tisu gulung dalam premis perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penyediaan tisu tandas di atas kaunter serta meja restoran adalah sesuatu yang tidak patut kerana menunjukkan imej yang kotor.

“Bagi menangani situasi ini, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam(MPKB-BRI) akan melipatgandakan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak melanggar peraturan yang dibuat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil Establishment Makanan.

”Kalau kita perhatikan di negeri lain, kebanyakan peniaga sudah tidak lagi menyediakan tisu tandas untuk kegunaan pelanggan mengelap tangan dan mulut selepas makan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Program Ihya’ Ramadhan di pejabat MPKB semalam.

Katanya, sikap peniaga di negeri ini perlu diubah kerana tisu tandas sepatutnya digunakan dalam tandas manakala untuk mengelap mulut selepas makan peniaga sepatutnya menyediakan kepingan tisu lembut yang lebih sesuai.

“Perkara ini perlu ditangani kerana ia akan menunjukkan imej yang tidak elok kepada pengunjung luar dan pelancong yang datang ke negeri ini mendapati kita masih lagi dengan amalan sama,” katanya.

Takiyuddin berkata, jika penyediaan tisu mengelap mulut agak membebankan peniaga dari segi kos perbelanjaan, mereka boleh memotong tisu terbabit dalam saiz lebih kecil sebagai langkah berjimat.

Beliau berkata, walaupun notis mengenai larangan itu sudah lama dikeluarkan kepada peniaga, namun setakat ini masih belum ada lagi peniaga yang didenda kerana mereka masih diberi peluang untuk berubah.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Takiyuddin turut mengingatkan supaya semua peniaga makanan mematuhi peraturan tidak menjual makanan sebelum jam 3 petang sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Katanya, peraturan itu turut meliputi pengusaha restoran makanan segera yang beroperasi di luar kompleks beli belah melainkan jika mereka sudah mendapat kebenaran bertulis daripada MPKB-BRI.

Menurutnya, pada Ramadan tahun lalu, hampir 10 peniaga di kompaun pihak MPKB-BRI atas kesalahan menjual makanan sebelum waktu operasi dibenarkan.

Beliau berkata, bagi pengusaha restoran Cina, walaupun tiada halangan bagi mereka menjalankan operasi menjual makanan seperti biasa, tindakan tetap dikenakan jika mereka bersubahat menjual makanan kepada penganut Islam yang tidak berpuasa.
SH

No comments:

Post a Comment