Thursday, July 21, 2011

Tiga penduduk Kelantan fail saman

KUALA LUMPUR 20 Julai - Tiga penduduk Kelantan mengemukakan saman pemula untuk memohon perisytiharan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa melulus dan menggubal undang-undang atau enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.

Saman pemula tersebut difailkan oleh dua peniaga, Wong Meng Yit, 47, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa, 58, dan rakan mereka, Gan Han Chuan, 44, melalui firma guaman Tetuan Sheng Lee Law di Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Jun lalu.

Salinan writ saman itu diserahkan kepada pihak media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker.

Ketiga-tiga mereka menamakan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sebagai defendan-defendan.

Dalam saman tersebut, plaintif memohon perintah perisytiharan bahawa kerajaan negeri itu tidak berkuasa meluluskan atau menggubal undang-undang atau enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.

Selain itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa perkara-perkara mengenai perjudian dan loteri adalah dalam bidang kuasa eksklusif Parlimen yang mengecualikan badan perundangan negeri Kelantan.

Turut dimohon perisytiharan bahawa defendan tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan atau menggubal sebarang undang-undang, undang- undang kecil, peraturan, arahan atau polisi yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.

Plaintif juga memohon ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan perintah lain. Mereka diwakili peguam Lee Kien Han dan M. Rueben yang turut menyebut bagi pihak Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azlan Abdul Halim mewakili kerajaan negeri.

Sementara itu, Lian Ker memberitahu pemberita bahawa pada mulanya saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil namun oleh kerana membabitkan isu Perlembagaan, ia telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).

Peguam Kien Han memberitahu pemberita bahawa Penolong Kanan Pendaftar, Jessica Ombou Kakayun hari ini memerintahkan supaya defendan memfailkan afidavit jawapan sebelum 3 Ogos ini dan menetapkan pengurusan kes saman itu pada 17 Ogos ini di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim.

Pada 11 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan penjualan loteri Big Sweep dilakukan secara terbuka di Kelantan terutama Kota Bharu biarpun Kerajaan Pas Kelantan mengharamkan semua bentuk aktiviti perjudian di negeri tersebut.

Berikutan itu, pada 28 Februari lalu, MPKB-BRI menyaman dua pemilik kedai buku di negeri itu kerana menjual tiket loteri.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

No comments:

Post a Comment