Thursday, July 21, 2011

Iran tembak jatuh dron AS

TEHRAN: Pengawal revolusi Iran menembak jatuh sebuah pesawat pengintip tanpa juruterbang milik tentera Amerika Syarikat yang didakwa cuba mengumpul maklumat mengenai loji pengayaan uranium bawah tanah.

Televisyen milik Kelab Wartawan Remaja memetik anggota Parlimen, Ali Aghazadeh Dafsari sebagai berkata, pesawat terbabit ditembak jatuh di kawasan nuklear Fordu, berhampiran bandar suci Qom di tengah Iran.


Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyebut bila kejadian berlaku.

Iran terbabit dalam pertelingkahan dengan Amerika Syarikat dan sekutunya berhubung program nuklear yang didakwa Barat bertujuan menghasilkan senjata nuklear.


Iran menafikan tuduhan itu dengan berkata, program berkenaan bertujuan menjana elektrik dan menghasilkan isotop untuk merawat pesakit.


Loji pengayaan uranium Fordu itu dibina berhampiran kompleks tentera.

Iran hanya mengakui kewujudan Fordo selepas agensi perisikan barat mengesannya pada September 2009.

Kemudahan itu dilapor terletak 90 meter di bawah sebuah gunung.

Iran berkata, ia merancang memasang pengempar canggih di Fordu bagi mempercepatkan aktiviti nuklearnya.


Ini bukan kali pertama Iran mendakwa menembak pesawat pengintip Amerika Syarikat.


Bulan lalu, pegawai tentera Iran menunjukkan kepada pakar Russia beberapa pesawat tanpa juruterbang Amerika yang ditembak jatuh sepanjang beberapa tahun lalu. - Reuters

myMetro | Iran tembak jatuh dron AS

No comments:

Post a Comment