Wednesday, August 31, 2011

Pembatalan filem '?' dicemuh ramai

JAKARTA 30 Ogos - Saluran televisyen SCTV dikritik hebat kumpulan-kumpulan Islam aliran sederhana apabila membatalkan penayangan filem kontroversi yang menggunakan simbol '?' sebagai tajuknya selepas digesa Barisan Pertahanan Islam (FPI) untuk berbuat demikian.
Kumpulan Nahdlatul Ulama (NU) yang pada mulanya membantah penayangan filem tersebut kini lantang bersuara mengkritik pembatalan tayangannya.
"Indonesia merupakan sebuah negara yang mematuhi undang-undang dan pihak berkuasa perlu memberikan kawalan keselamatan kepada SCTV.
"Sekiranya pihak berkuasa dapat memberikan kawalan keselamatan, SCTV tidak perlu takut untuk menayangkan filem tersebut," kata Pengerusi Pergerakan Belia NU Ansor, Nusron Wahid merujuk kepada FPI yang sebelum ini mengugut untuk melakukan protes di hadapan bangunan SCTV sekiranya '?' ditayangkan.
Filem arahan Hanung Bramantyo dan lakonan pelakon, Reza Rahadian itu didakwa memaparkan pluralisme dalam masyarakat moden Indonesia.
Dalam pada itu, seorang aktivis NU, Hamzah Sahal turut kesal dengan pihak polis yang dilihat tidak mengambil sebarang tindakan selepas FPI mengeluarkan kenyataan untuk melakukan protes.
"FPI bukanlah sesiapa di kalangan masyarakat Islam di Indonesia. FPI adalah sebuah organisasi palsu," katanya.
Sementara itu, laman sosial Twitter turut digunakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pembatalan filem tersebut.
"Penayangan filem '?' adalah hak media dan membatalkannya kerana FPI adalah satu tindakan pengecut," kata seorang pengguna laman sosial tersebut. - AGENSI, utusan

No comments:

Post a Comment