Wednesday, September 19, 2012

China mahu berunding isu pulau




BEBERAPA anggota polis mengawal sejumlah penunjuk perasaan anti-Jepun di sebatang jalan raya menuju ke Pejabat Konsulat Jepun di Shanghai semalam.



BEIJING - China mahu berunding bagi menyelesaikan pertikaian dengan Jepun berhubung tuntutan bertindih ke atas beberapa buah pulau tetapi akan mengambil 'tindakan susulan' sekiranya rundingan itu gagal, kata Menteri Pertahanan, Liang Guanglie semalam.
"Kami berhak mengambil tindakan susulan walaupun kami berharap dapat menyelesaikan isu ini menerusi rundingan secara aman," Guanglie dipetik sebagai berkata oleh media China selepas berunding dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta di sini semalam.
Pada pertemuan mereka, Guanglie dan Panetta membincangkan tentang kepulauan yang dituntut oleh kedua-dua Beijing dan Tokyo yang dikenali sebagai Diaoyu di China serta Senkaku in Jepun.
Panetta turut menggesa China supaya meningkatkan hubungan ketenteraan dengan AS bagi mengurangkan risiko konfrontasi ketika kedua-dua buah kuasa besar itu bergelut dengan isu pertikaian wilayah antara Tokyo dan Beijing.
Isu tersebut timbul selepas kerajaan Jepun membeli tiga daripada empat pulau kecil itu daripada beberapa pemilik persendirian pada minggu lalu sekali gus mencetuskan bantahan anti-Jepun di beberapa buah bandar di China.
Kepulauan tersebut turut dituntut oleh Taiwan.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 100 aktivis Taiwan membakar bendera Jepun pada tunjuk perasaan di pusat bandar di sini semalam.
Tunjuk perasaan bagi menyokong kerajaan Jepun berhubung isu pulau tersebut turut diadakan di Tokyo semalam.
Perkembangan itu berlaku ketika 11 kapal China memasuki perairan sekitar kepulauan berkenaan semalam beberapa jam selepas dua aktivis Jepun berenang ke sebuah pulau tuntutan bertindih tersebut.
Kapal-kapal itu tidak memasuki wilayah Jepun tetapi berlabuh di perairan yang dikenali di bawah undang-undang maritim antarabangsa sebagai zon persempadanan.
Sementara itu, beribu-ribu penduduk China menyertai beberapa bantahan semalam bagi memperingati insiden yang mencetuskan pencerobohan Jepun di timur laut China pada 1931.
Penunjuk-penunjuk perasaan di sini membawa sepanduk dan melaungkan slogan supaya memboikot barangan dan mengebom Jepun semasa mereka diiringi oleh sejumlah anggota polis beruniform dan berpakaian awam.
Beberapa penunjuk perasaan membaling botol air plastik, telur, tomato dan pelbagai benda lain ke arah Kedutaan Jepun semasa mereka berarak melepasi halangan pihak berkuasa. -Agensi

No comments:

Post a Comment