Wednesday, September 19, 2012

Filipina, MILF capai persetujuan



Pasukan polis Filipina menjalani latihan menangani penjenayah dan pengganas di ibu pejabat polis di Manila, kelmarin. MILF telah mengarahkan lebih 12,000 anggotanya mematuhi gencatan senjata dengan kerajaan dan jangan menyerang kemudahan AS di Filipina. - AFP
MANILA 18 Sept. - Kerajaan Filipina dan kumpulan pemberontak Islam dilaporkan telah merangka satu perjanjian awal untuk menamatkan pemberontakan yang berlarutan lebih dua dekad di wilayah selatan negara ini.
Perunding kerajaan, Marvic Leonen berkata, draf perjanjian awal antara kerajaan dan kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan didedahkan kepada umum, sebelum ia ditandatangani dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, MILF menegaskan pemberontakan di Mindanao tidak akan berakhir sehingga perjanjian damai yang dipersetujui kedua-dua pihak ditandatangani.
Perunding MILF, Mohagher Iqbal berkata, perjanjian awal berkenaan akan merangkumi persetujuan dalam beberapa isu penting termasuk had kuasa, lokasi dan kawasan yang dipersetujui kerajaan untuk melaksanakan pentadbiran Islam.
Katanya, satu suruhanjaya peralihan akan ditubuhkan selepas perjanjian itu ditandatangani untuk melaksanakan persetujuan awal berkenaan yang diharapkan akan membawa kepada perjanjian akhir dalam tempoh seawal tiga tahun akan datang.
"Perjanjian ini juga akan menamatkan pemberontakan yang telah berlanjutan sejak 27 tahun lalu, namun keganasan di wilayah ini tidak akan tamat dengan serta-merta disebabkan terdapat kumpulan bersenjata lain di sini," katanya.
Penasihat Presiden, Teresita Deles berkata, wakil rundingan turut mengupah pakar perundangan dan masyarakat setempat yang terlibat untuk membincangkan mengenai draf perjanjian itu. - AGENSI

No comments:

Post a Comment