Indon pasrah anak lumpuh
Indon (kanan) di sisi Mohd Syukri sewaktu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat ke rumah mereka di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu.
HULU TERENGGANU – Ketika insan seusianya sibuk memburu impian hidup, Mohd Syukri Mohd Nor, 30, pula pasrah dengan ketentuan Ilahi apabila dia kini lumpuh dan terpaksa bergantung kepada ahli keluarga lain untuk menguruskan dirinya.

Kejadian lima tahun lalu ternyata memberi perubahan besar kepada Mohd Syukri biarpun dia sendiri tidak pernah menjangkakan bakal menerima dugaan segetir itu.

Pada April 2007, dia terlibat dengan kemalangan dengan sebuah jentolak ketika membonceng motosikal dengan seorang rakan.

Sejak kejadian yang berlaku di Kampung Pauh itu, dia mengalami kecacatan kekal dan tidak lagi dapat berjalan.

Menurut ibunya, Indon Sulaiman, 54, insiden itu telah mengubah kehidupan anak kedua daripada enam beradik itu.

“Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihat keadaannya kini. Kehidupan seharian hanya berada di rumah, menonton televisyen dan mengengsot untuk bergerak termasuk ke bilik air.

"Mujurlah kawan-kawan sekampungnya sering datang mengunjunginya," katanya.

Kata Indon, kaki kanan anaknya itu tidak lagi mempunyai deria, walaupun dicubit dengan kuat, dia masih tersenyum kerana tidak ada rasa sakit sedikitpun.

"Kaki kanannya itu juga semakin mengecil. Mohd Syukri juga bergantung kepada ubat setiap kali ingin membuang air besar, ubat itu berharga RM10 sepaket dan hanya bertahan selama dua minggu," katanya.

Walaupun doktor telah mengesahkan yang anaknya itu mengalami kecacatan kekal, namun sebagai ibu, Indon tidak pernah putus asa untuk berdoa kepada Ilahi.

Indon bagaimanapun amat bersyukur kerana menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan dan ia banyak meringankan beban kewangannya kerana suaminya kini tidak lagi dapat bekerja akibat penyakit kencing manis.