Penyokong Hezbollah
Penyokong Hezbollah membawa sepanduk dan bendera semasa berarak dalam demonstrasi besar-besaran membantah Innocense of Muslims di Beirut, Lubnan. - Foto EPA
Penyokong Hezbollah
Penyokong Hezbollah membawa sepanduk dan bendera semasa berarak dalam demonstrasi besar-besaran membantah Innocense of Muslims di Beirut, Lubnan. - Foto EPA
KAHERAH - Pihak berkuasa Mesir mengeluarkan waran tangkap ke atas rakyat Mesir beragama Kristian Koptik dan pastor dari Florida, Amerika Syarikat (AS), dan mahu membicarakan mereka berhubung protes dan keganasan ekoran filemInnocense of Muslims.
Filem itu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam telah mencetuskan protes dan kemarahan di 20 buah negara.
Pejabat Ketua Pendakwa Raya berkata, tujuh lelaki dan seorang wanita, kesemua mereka dipercayai berada di luar Mesir, dikenakan tuduhan memudaratkan perpaduan kebangsaan, menghina dan menyerang Islam secara terbuka dan menyebarkan maklumat palsu.
Di bawah tuduhan itu, mereka boleh dikenakan hukuman mati.
Satu kenyataan daripada pendakwa raya semalam berkata, antara yang dikenakan tuduhan dan dikeluarkan waran tangkap ialah  Nakoula Basseley Nakoula, seorang rakyat Mesir Koptik yang tinggal di selatan California, dan dipercayai sebagai individu utama di sebalik pengeluaran filem itu.
Nakoula telah ditahan oleh pihak berkuasa AS minggu lalu. Dia juga pernah disabitkan kesalahan menipu bank.
Begitu juga Pastor Terry Jones, dari California, yang pernah mengatakan dia ada didampingi oleh pengeluar filem itu agar mempromosikan videonya. Jones pernah mencuri perhatian dunia ekoran sikapnya anti-Islam dan pernah mengancam mahu membakar al-Quran.
Bagaimanapun nama tertuduh yang lain tidak diperoleh dengan segera.

Selain Nakoula, seorang lagi yang dikaitkan dengan filem itu ialah Joseph Nassralla, yang mengeluarkan kenyataan dalam blog anti-Muslim dan aktivis Pamela Geller, lapor Los Angeles Times.
Nassrall merupakan Presiden Media for Christ, organisasi yang namanya diletakkan dalam permit filem.
Filem bajet murah ini ditayangkan sejak tiga bulan lalu dan dimuat naik di YouTube sejak awal bulan ini.