Bill Clinton bersama isterinya Hillary dan anak mereka, Chelsea pada satu majlis tiga tahun lalu.
Bill Clinton bersama isterinya Hillary dan anak mereka, Chelsea pada satu majlis tiga tahun lalu.
LONDON – Chelsea, anak perempuan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton, tidak menolak kemungkinan akan ikut jejak bapanya bertanding jawatan White House.
Chelsea, 32, berkata demikian dalam satu wawancara televisyen dengan BBC.
Bercakap dari Abuja di Nigeria, Chelsea yang ditanya sama ada akan mencuba nasib untuk mengetuai White House berkata, “saya merasai panggilan yang kuat terhadap (jawatan) perkhidmatan awam.”
“Terdapat banyak cara untuk berkhidmat... kehidupan ibu saya merupakan satu bukti untuk itu,” kata anak tunggal pasangan Clinton dan Hillary itu.
Hillary pernah cuba mendapatkan tiket untuk bertanding kerusi Presiden AS, tetapi tewas. Kemudian beliau dilantik sebagai Setiausaha Negara oleh Presiden Barack Obama.
Clinton menyandang jawatan Presiden AS dari 1993 hingga 2001. Beliau digantikan oleh George W. Bush.
“Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Sebelum kempen ibu saya pada 2008, saya katakan tidak. Agak ramai orang bertanyakan saya soalan tersebut sehingga saya tidak boleh ingat,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa ibunya, Hillary layak untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat suatu hari nanti.
“Saya hendak beliau lakukan apa yang beliau inginkan. Saya bangga dengan ibu saya, dengan apa yang beliau lakukan,” katanya lagi.
Nama Clinton dilihat cukup besar dalam arena politik AS.
Sebelum ini, arena politik AS pernah dikaitkan dengan nama dinasti Kennedy susulan mendiang Presiden John F. Kennedy.
Menjelang pemilihan presiden negara itu bulan depan, Obama mendapat sokongan penuh daripada Clinton yang mengkritik keras dasar ekonomi yang dibawa wakil Republikan, Mitt Romney.
Clinton menyifatkan dasar yang dibawa oleh Obama jauh lebih baik dan telah meletakkan negara di atas dasar ekonomi moden yang seimbang.