JAKARTA - Sejumlah 2,468 rakyat Indonesia yang tinggal lebih masa di Arab Saudi akan dibawa pulang ke tanah air oleh Kementerian Luar Negeri republik itu menggunakan pesawat haji mulai hari ini.
Tujuh penerbangan akhir pesawat haji oleh syarikat penerbangan nasional Garuda Indonesia akan diguna untuk membawa pulang warganegara itu, supaya urusan itu tidak mengganggu kelancaran jadual penerbangan haji, kata Pengarah Penerangan dan Media Kementerian Luar Negeri Indonesia, PLE Priatna di sini, pada Rabu.
Kumpulan pertama berjumlah 336 orang yang terdiri daripada 302 wanita, 15 kanan-kanak dan 19 bayi, akan diterbangkan pulang dari Jeddah pada pukul 1 pagi ini dan mereka dijadual tiba di Jakarta petang ini.
"Pada asalnya jumlah warganegara Indonesia yang dicatat dalam kumpulan pertama ini ialah 337 orang, namun seorang daripada mereka membatalkan kepulangan kerana melahirkan seorang bayi sehari sebelum penerbangan," katanya dalam kenyataan di sini.
Urusan membawa pulang rakyat Indonesia yang tinggal lebih masa di Arab Saudi itu adalah hasil kesepakatan yang dicapai dalam beberapa perundingan antara kerajaan Indonesia dengan kerajaan Arab Saudi, kata Priatna.
Kenyataan itu menyebut bahawa sebagian besar daripada rakyat Indonesia itu masuk ke Arab Saudi menggunakan visa kerja dan kemudian melarikan diri daripada majikan mereka.
Sebahagian lagi masuk menggunakan visa umrah dan kemudian bekerja secara haram, bahkan ada yang menetap bertahun-tahun dan berkahwin di Arab Saudi, pulang ke Indonesia dengan membawa anak-anak mereka.
Ini adalah kali kedua rakyat Indonesia yang tinggal lebih masa di Arab Saudi dibawa pulang menggunakan pesawat haji selepas tahun lepas di mana sejumlah 1,572 orang dibawa pulang dengan cara sama.
Pada Februari dan Mac tahun lepas, Kementerian Luar Negeri Indoneia membawa pulang sejumlah 2,078 rakyat Indonesia itu dari Arab Saudi dengan pesawat komersil biasa.
Sejumlah 2,349 orang lagi dibawa pulang menggunakan kapal laut pada April tahun lepas.
Pada masa ini dianggarkan masih terdapat puluhan ribu rakyat Indonesia yang tinggal lebih masa di Arab Saudi.
Sepanjang tempoh 1 Jan hingga 15 Okt lepas, Konsulat Jeneral Indonesia Jeddah mengeluarkan 8,631 surat perjalanan laksana pasport (SPLP) untuk keperluan menghantar pulang rakyat Indonesia yang tinggal lebih masa di Arab Saudi.
Mereka ini tidak dibenar masuk kembali ke Arab Saudi dalam tempoh lima tahun kerana melanggar syarat kebenaran tinggal dan undang-undang imigresen.- Bernama