Brigadier Hatim Mohammed al-Hashemi
Brigadier Hatim Mohammed al-Hashemi
SANAA - Penasihat kepada Menteri Pertahanan Yaman maut ditembak lelaki bersenjata di ibu negara Yaman semalam.

Pegawai polis tempatan berkata, Brigadier Hatim Mohammed al-Hashemi dan beberapa pegawai di kementerian itu turut maut dalam serangan itu, apabila dua lelaki bertopeng menaiki motosikal di Bab Alyemen Street, pusat bandar Sanaa melepaskan tembakan itu.

“Penyerang melarikan diri, siasatan awal menunjukkan penyerang adalah dari kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Pertahanan Yaman melaporkan, kumpulan yang sama dipercayai turut membunuh seorang pegawai kanan Yaman, Qassim Aklan yang bertugas di Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Ancaman keselamatan di Yaman kini menjadi isu utama selepas sayap Al-Qaeda berterusan melancarkan siri serangan berani mati bagi menguasai beberapa kawasan di negara itu.

Keadaan menjadi semakin tegang sejak Jun lalu, apabila tentera AS dan Yaman bekerjasama mengusir puak militan daripada terus melakukan keganasan di beberapa bandar besar di negara itu dengan menyerang kubu mereka menggunakan serangan peluru berpandu. -NNN