Md Jan Nipang
Md Jan Nipang
BATANG KALI - Keadaan bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Ezmi Md Jan, 35, yang menghidap barah hidung kini bertambah baik.

Bapanya, Md Jan Nipang, 66, berkata, Mohd Ezmi mula menampakkan reaksi positif dan lebih ceria berbanding hari sebelumnya.

“Alhamdulillah, nampak perubahan ketara pada dirinya terutama luka di wajahnya yang mula kemerahan.

“Bila rakan pasukannya datang pun dia nampak ceria dan bersemangat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi turut melawat Mohd Ezmi di samping memberikan sumbangan dan kata-kata semangat.

Menurutnya, rawatan tradisional Islam yang dijalankan selama lebih tiga minggu bersama pengamal perubatan daripada Felda Gedangsa jelas memperlihatkan perubahan positif.

Katanya, kaedah rawatan digunakan juga bersesuaian dengan Mohd Ezmi dan luka pada mukanya beransur pulih.

Ditanya mengenai keadaan rumah tangga anak sulungnya itu, Md Jan berkata, semuanya sudah ketentuan Ilahi dan sememangnya jodoh mereka sementara saja.

“Sebenarnya, mereka berpisah pada 2010 sebelum keadaan ini menimpanya lagi dan bukan disebabkan penyakit dialami.

“Malah, bekas isterinya sering datang melawatnya dan pernah membersihkan sendiri luka pada wajahnya,” katanya sambil menyifatkan bekas isteri Mohd Ezmi seorang wanita yang baik dan bertanggungjawab.

Difahamkan, bekas isteri Mohd Ezmi seorang pramugari di syarikat penerbangan utama negara dan dia turut menyediakan keperluan dua anak mereka berusia tujuh dan 10 tahun.