Wednesday, October 10, 2012

Ramai hilang tanpa berita

myMetro | Ramai hilang tanpa berita:

SITTWE: Terhimpit, tersepit atau sememangnya disingkir. Tiga perkara itu pasti akan berada dalam fikiran sesiapa saja apabila memasuki kem serta kampung pelarian Rohingya yang terletak jauh dari kawasan pekan Sittwe.
Nasib mereka ini bagaikan tiada kesudahan apabila dipisahkan jauh dari kemajuan dan tinggal dalam kedaifan sehingga ramai di kalangan pelarian Rohingya ini menghadapi penyakit disebabkan tiada rawatan diberikan berbanding kem pelarian lain yang menyediakan perkhidmatan perubatan.

Selepas disambut dengan air mata di dua buah kem iaitu Kem Thekebyin dan Kem Baw Dhu Pa serta di Kampung Baw Dhu Pha sebelum ini, Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) diteruskan lagi ke beberapa kampung di Sittwe.
Sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang mengunjungi kampung Than Htaw Li yang menjadi tempat pelarian Rohingya ini tinggal untuk menghantar barangan bantuan hanya mampu menahan air mata apabila melihat kesengsaraan yang terpaksa ditanggung mereka.

Ketika bantuan diberikan, semua pelarian di kem itu keluar untuk mendapatkan barangan bantuan yang dibawa dan rata-rata daripada mereka begitu gembira dan bersyukur dengan keprihatinan rakyat Malaysia.

Mereka mula berebut sehinggakan berlaku tolak menolak kerana masing-masing berebut ingin mendapatkan bekalan makanan dan ketika ucapan diberikan Presiden KP1M, Datuk Azeez Abdul Rahim, rata-rata daripada mereka menangis seperti ada sesuatu yang tersimpan di hati mereka.
Ketika semua pelarian lain beratur untuk mendapatkan bantuan makanan yang diserahkan, wartawan mendapati ada seorang wanita bersama anak kecilnya tidak keluar dari rumahnya yang dibina dengan buluh untuk mengambil makanan.

Mungkin terdapat seribu satu cerita sedih di sebalik raut wajah ceria Fathma Hattuh Rahmen, 23, sehingga menyebabkannya tidak mahu keluar untuk mendapatkan bantuan makanan yang dibawa itu.
Cuba mendekati wanita muda ini, barulah mengetahui cerita sedih terpaksa ditanggungnya bersama anak kecilnya berusia dua bulan apabila suaminya hilang entah ke mana sejak beberapa bulan lalu.

Fathma Hattuh dalam nada sedih menceritakan trauma yang terpaksa ditanggung selepas kehilangan suami dan menurutnya sudah banyak pelarian Rohingya yang hilang tanpa khabar berita.

Dia juga mendakwa ada di kalangan mereka yang dibunuh tanpa belas kasihan dan amat berharap dunia campur tangan bagi mengakhiri penderitaan yang terpaksa ditanggung mereka.

“Saya tidak kisah dengan nasib saya, tetapi apa yang saya risaukan kehidupan anak saya pada masa akan datang. Air mata ini sudah tidak boleh keluar lagi dan setiap hari saya pasti akan menangis mengenangkan nasib suami,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelarian Rohingya, NurIlsham Saed, 32, berkata, mereka rela tidur di tepi jalan, tidak makan atau minum dan rela dibunuh daripada melihat masjid serta al-Quran yang menjadi pegangan masyarakat Islam dibakar.

NurIlsham ketika meluahkan perasaan sedihnya kepada wartawan mendakwa masjid yang menjadi tempat mereka beribadat dibakar dan nyawa pelarian Rohingya bagaikan tidak bernilai apabila ditembak serta dibunuh dengan kejam.

“Sampai bila nasib kami nak jadi begini, kami memang tidak tahan dengan penderitaan yang ditanggung ini dan kami sangat-sangat berharap Malaysia boleh menjadi penghubung untuk menyelesaikan masalah kami ini,” katanya selepas menerima bantuan barangan makanan dari KP1M.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment