Sunday, November 4, 2012

Israel mahu Romney menang




         
TEL AVIV: Israel secara terbuka mengharapkan calon Parti Republikan, Mitt Romney memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Mereka yakin pencabar Presiden Barack Obama itu akan menjadi ‘rakan’ yang lebih baik kepada rejim Zionis. Kaji selidik yang dijalankan Peace Index menunjukkan, 57 peratus rakyat Israel percaya, untuk kepentingan Israel, Romney akan menjadi presiden yang lebih baik, berbanding Obama, yang meraih 22 peratus undi.


“Rakyat Israel ragu terhadap Obama dan lebih suka jika Romney menang,” kata Eytan Gilboa, pakar hubungan Amerika Syarikat-Israel di Universiti Bar Ilan.

“Ini kerana sikap Obama yang tegas, khususnya terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan hubungan dengan Israel,” katanya.


Menurutnya, Netanyahu sendiri lebih suka Romney menang kerana merasakan hubungan dengan Obama tegang, tidak mendapat kerjasama secukupnya, baik secara peribadi mahupun di peringkat kebangsaan.


Hubungan Netanyahu dengan Obama dilihat tidak mesra dan kedua-duanya berbeza pendapat mengenai isu utama dengan yang terbaru mengenai cara menangani program nuklear Iran.

Gilbao berkata, meskipun Obama dan Romney mempunyai pendirian sama mengenai keperluan keselamatan Israel, terdapat perbezaan jelas antara mereka mengenai isu nuklear Iran.


“Netanyahu memilih untuk menggunakan kekerasan ke atas Iran tetapi dilarang oleh Obama.

“Romney pula tidak akan gunakan kekerasan untuk mendesak Iran menghentikan program nuklearnya, tetapi akan membenarkan Netanyahu melancarkan serangan ke atas Iran,” kata Gilbao.


Di pihak Palestin pula, pilihan raya AS yang akan berlangsung Selasa ini tidak menarik minat mereka. Dengan rundingan damai tertangguh sejak dua tahun lalu, Obama tidak lagi dikagumi penduduk Palestin. Mereka percaya, siapa juga menjadi presiden Amerika Syarikat, ia tidak akan mengubah nasib mereka. - AFP

No comments:

Post a Comment