20 tahun tiada kad pengenalan
Kamsol menunjukkan pasport isterinya yang menjadi dokumen sokongan untuk terus bersama keluarganya.
20 tahun tiada kad pengenalan
Surat beranak ketiga-tiga anak mereka.
20 tahun tiada kad pengenalan
Sijil nikah sah daripada Pejabat Agama Langkawi.
ULU MELAKA - “Saya dah putus asa nak turun naik pejabat pihak berkenaan untuk mendapatkan kad pengenalan isteri saya yang dikahwini 20 tahun lalu,” kata seorang lelaki, Kamsol Kamarudin, 46, yang berkahwin dengan pasangannya, Sukhon Buchu, 44, yang berasal dari Wilayah Saturn, Thailand.

Kamsol berkata, keadaan semakin sukar apabila usia semakin meningkat kerana permasalahan untuk mendapatkan kad pengenalan isteri masih samar dan buntu.

Menurutnya, isterinya hanya mempunyai visa perjalanan daripada Kerajaan Thailand dan diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menjalani kehidupan di sini.

“Semua dah sudah kami lalui, antaranya sesi temuduga dengan Kementerian Dalam Negeri dan berjumpa pihak imigresen tapi, tiada satu pun berhasil.

“Malah, semua bebanan dan kos ulang alik bagi mendapatkan dokumen yang sah agar isteri saya dapat tinggal bersama ditanggung sendiri hampir belasan tahun,” katanya.

Kamsol berkata, kali terakhir mereka berjumpa pihak berkenaan pada tahun lepas namun, masalah ketiadaan kad pengenalan isteri yang dipohon sekian lama tidak juga selesai
“Anak-anak pun dah besar, yang sulung pun dah umur 18 tahun dan kesemua anaknya lahir di Langkawi dan mempunyai surat beranak Malaysia,” katanya.

Kamsol juga memaklumkan sebelum mendapatkan visa perjalanan yang disahkan kedua-dua Kerajaan Malaysia dan Thailand, isterinya hanya menggunakan pas lawatan sosial dan terpaksa berulang alik untuk membuat pengesahan semula apabila pas tamat tempoh.

“Masalah dah lama, saya pun tak tau nak cakap apa lagi. Saya pun dah kerap jumpa pemimpin politik tapi, tiada siapa nak tolong saya selesaikan masalah dihadapi ini.

“Penduduk di kampung ini pun ada yang kahwin dengan warga asing tapi, setelah melalui karenah birokrasi daripada jabatan terlibat akhirnya mereka hanya berserah dan lebih malang lagi kebanyakan anak mereka langsung tidak bersekolah kerana ketiadaan surat beranak,” katanya.

Pernah ditipu

Kali terakhir dia dipanggil temuduga oleh pihak terbabit untuk mendapatkan kad pengenalan pada tahun lepas, melibatkan hampir 23 anak tempatan yang mengalami masalah sama iaitu terdesak untuk mendapatkan taraf penduduk tetap bagi isteri mereka.

“Kami juga pernah tertipu kerana ada pihak menawarkan khidmat untuk mendapatkan kad pengenalan dengan mudah dan bayaran hampir RM2,000 seorang.

“Kami di sini yang berkahwin dengan warga asing ditipu individu terbabit. Kami rasa cukup teraniaya dengan kejadian seperti ini. Kami rasa dah putus asa,” katanya lagi.

Kamsol juga turut mengesa pihak terbabit menyegerakan pemberian kad pengenalan kepada isterinya agar tidak timbul masalah lain pada masa akan datang.

“Sekiranya saya ditakdirkan mati esok atau lusa, apa akan jadi dengan nasib isteri dan tiga anak saya. Di mana mereka nak menumpang atau jalani hidup sebagai sebuah keluarga seperti orang lain. Kepada pihak berkenaan bantulah kami dan selami permasalahan yang kami hadapi ini,” katanya.

Kehidupan sukar

Sementara itu, Sukhon berkata, segalanya sukar untuk dirinya menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Kami pun bukan orang kaya dan ada duit banyak cuma cukup-cukup makan saja, anak-anak pun dah besar. Kadang-kadang rasa cukup terasing kerana nak naik motor pun susah sebab tak boleh buat lesen.

“Kalau nak beli barang keperluan harian pun secara sembunyi. Susah kalau macam ni, kalau polis tahan semua jadi susah,” katanya yang menjalankan perniagaan gerai makan di kampung tersebut.

Menurutnya, kakaknya yang juga menetap dan berkahwin di Malaysia, sudah mendapat kad pengenalan sah dan kini berada di Ipoh, Perak.

“Kami bukannya nak salahkan mana-mana pihak, tapi kami dah tak larat dah, rasa cukup terpinggir dengan masalah dihadapi. Kepada pihak berkenaan berilah ruang untuk kami sekeluarga menjalani kehidupan tanpa rasa tertekan,” katanya yang juga pernah berusaha untuk mendapatkan lesen sah tetapi, ditolak kerana tidak mendapat taraf penduduk tetap.