Monday, April 8, 2013

AS tangguh ujian peluru berpandu



GAMBAR yang disiarkan agensi Korean Central News Agency semalam menunjukkan beberapa askar Korea Utara menjalani latihan menembak ke arah sasaran gambar Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Kwan-Jin di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.


SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) telah menangguhkan ujian peluru berpandu balistik antara benua untuk mengelak daripada mencetus ketegangan dengan Korea Utara.
Pihak Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) mendedahkan ia akan menjadualkan semula ujian itu di California pada minggu depan ketika masyarakat antarabangsa kini khuatir krisis di Korea Utara semakin buruk.
Seorang pegawai pertahanan AS berkata, Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel memberitahu, tiga ujian di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg ditangguhkan sehingga minggu hadapan berikutan kebimbangan oleh sesetengah pihak ia akan memburukkan krisis di Korea Utara.
"Kami mahu mengelak salah tanggapan atau manipulasi," kata pegawai itu kepada agensi berita AFP.
Sebelum ini Pyongyang mengeluarkan amaran bahawa keselamatan kedutaan di negara itu tidak terjamin selepas 10 April sekiranya konflik tercetus.
Dalam perkembangan berkaitan, diplomat-diplomat asing di Pyongyang membincangkan amaran daripada pihak berkuasa Korea Utara yang menyatakan ia tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap kedutaan asing.
Kebanyakan negara-negara asing di Korea Utara menyatakan ia tidak akan memindahkan kakitangan kedutaan dengan segera.
Terdapat beberapa pihak yang menyatakan bahawa permintaan Korea Utara itu merupakan muslihat untuk meningkatkan ketegangan di rantau Korea.
Menurut Kim Jang-soon yang merupakan Penasihat Keselamatan kepada Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye menyatakan, semalam bahawa amaran berhubung jaminan keselamatan itu bertujuan supaya seorang wakil AS akan dihantar bagi menawarkan dialog yang melibatkan penyertaan Korea Utara atau Rusia sebagai pengantara.
Korea Utara merupakan sekutu utama China.
Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberi kuasa untuk menyerang AS dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan.
Tindakan itu merupakan ancaman terbaharu Korea Utara terhadap AS sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ketegangan itu turut melibatkan Korea Selatan yang melancarkan latihan ketenteraan dengan AS.
Korea Utara turut mengancam untuk melancarkan semula Perang Korea yang sebelum ini berakhir pada tahun 1953.
Tentera AS turut menghantar beberapa pesawat kalis radar ke Korea Selatan sebagai persediaan untuk menghadapi peperangan dengan Korea Utara.
Peperangan itu berakhir menerusi perjanjian damai yang ditandatangani kedua-dua pihak di Panmunjom yang terletak di sempadan kedua-dua buah negara.
Perjanjian itu dilaksanakan selepas tentera Korea Utara menyerang Korea Selatan pada tahun 1950.
Ketegangan itu mula tercetus sebelum ini selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan sekatan barang mewah ke atas Korea Utara selepas ia melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.
Korea Utara yang menggunakan ideologi komunis dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas bapanya, Kim Jong-il meninggal dunia pada April tahun lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2PsAEepdk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment