Monday, April 8, 2013

Tian Chua tidak dibenar masuk Sabah




KERATAN Kosmo! 2 Mac 2013


KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini semalam tidak dibenarkan memasuki Sabah dan diminta kembali ke Semenanjung.
Difahamkan, penyandang kerusi Parlimen Batu itu yang tiba pada tengah hari telah ditahan oleh penguat kuasa imigresen di LTAKK sebelum diarahkan menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang turut tiba bersama Tian Chua mendakwa, ketibaan mereka berdua telah disambut oleh sekumpulan anggota beruniform biru di pusat pemeriksaan LTAKK.
Menurut Mohamad Sabu, dia mengesyaki sesuatu akan berlaku ke atas rombongan mereka setelah ‘ditegur’ oleh beberapa anggota keselamatan sebaik tiba.
“Semasa bergerak ke kaunter imigresen, saya nampak ramai pegawai ‘beruniform biru’ dan Tian Chua dimaklumkan dia tidak dibenarkan memasuki Sabah. Saya bernasib baik kerana diberikan sekeping kertas putih (pas lawatan sementara),” katanya di sini kelmarin.
Difahamkan, pihak imigresen bertindak tidak membenarkan Tian Chua memasuki Sabah semalam kerana kenyataan lantangnya sebelum ini yang mengaitkan krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai ‘sandiwara’.
Tian Chua dan Mat Sabu berkunjung ke Kota Kinabalu untuk menghadiri dua ceramah PKR di Tuaran dan Penampang yang dijadualkan berlangsung petang semalam.
Pada 1 Mac lalu, Ahli Parlimen Batu itu seperti dipetik dalam lidah rasmi PKR, keadilandaily.com mendakwa, kejadian yang menyebabkan kematian petugas keselamatan negara dan penceroboh dari Filipina itu hanya ‘sandiwara kerajaan’.
Kenyataan itu kemudian telah mencetuskan kemarahan seluruh rakyat terutamanya dalam kalangan penduduk Sabah. Ekorannya, Tian Chua didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan menghasut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2PsDYrtyw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment