KOH AH TIAM
KOH AH TIAM
KUALA TERENGGANU - Dua penyokong sebuah parti politik diserang sekumpulan penyokong parti lawan semasa sedang menaikkan bendera parti mereka dalam satu kejadian di tepi jalan di Kampung Pulau Serai, Dungun, Isnin lalu.

Jurucakap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Polis Terengganu, Superintendan Koh Ah Tiam berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam itu dipercayai kumpulan itu tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menaikkan bendera parti di kawasan berkenaan.

“Semasa kedua-dua mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan bendera, mereka telah didatangi sekumpulan lelaki iaitu kira-kira 10 orang, yang bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mangsa.

“Mangsa yang berusia 40-an itu mengalami kecederaan ringan dan lebam di seluruh bahagian badan dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Dungun,” katanya, semalam.

Koh berkata, polis masih memburu kesemua suspek yang terlibat dipercayai sedang bersembunyi, namun pihak polis sudah berjaya mengesan identiti mereka.

Sementara itu, Koh berkata, polis Terengganu membuka 25 kertas siasatan terhadap kes-kes berkaitan dengan PRU13 yang dilaporkan di seluruh negeri bermula pada tarikh hari penamaan calon.

“Kesemua kes yang dibuka untuk disiasat adalah berkait dengan keganasan pihak penyokong parti serta mengadakan ceramah tanpa permit,” katanya.

Pada masa sama, Koh turut menasihatkan semua ahli politik agar lebih berhemah serta mengelakkan daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menjurus kepada pergaduhan dan provokasi sepanjang kempen pilihan raya ini.

“Kita juga ingin mengingatkan semua pihak agar tidak melibatkan kanak-kanak dalam kempen politik mereka untuk menjaga keselamatan mereka,” katanya.