Friday, May 3, 2013

Serangan tidak akan gugat rundingan damai




BEBERAPA orang anggota keselamatan memeriksa kedai runcit di mana enam orang ditembak mati oleh kumpulan pemisah di Pattani kelmarin.- REUTERS


BANGKOK - Ketua keselamatan negara Thailand menegaskan, rundingan ke arah perdamaian di selatan Thai akan diteruskan, di sebalik serangan berdarah yang meragut enam nyawa termasuk seorang budak lelaki berusia tiga tahun.
Serangan tersebut dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemisah di selatan negara itu.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanathabutr berkata demikian semalam selepas menemui Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra susulan serangan berdarah kelmarin.
Dalam insiden tersebut, empat lelaki bersenjata menaiki dua buah motosikal telah melepaskan tembakan di hadapan sebuah kedai runcit di wilayah Pattani.
"Kami tidak tahu kumpulan mana yang melakukan serangan itu. Namun, kami tetap meneruskan rundingan damai pada 13 Jun depan dengan sokongan pihak tentera," katanya.
Serangan tersebut berlaku dua hari selepas rundingan damai pusingan kedua diadakan di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Rundingan damai melibatkan kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) itu diusahakan oleh Malaysia.
Kelmarin, tentera Thailand yang menempatkan 60,000 askar di selatan negara itu bertindak menolak tuntutan-tuntutan BRN.
Penentangan terhadap kerajaan Bangkok di tiga wilayah selatan yang didominasi penduduk Islam iaitu Yala, Pattani serta Narathiwat wujud sejak beberapa dekad lalu dan bertukar ganas pada Januari 2004.
Setakat ini, lebih 5,300 orang terbunuh dalam kebangkitan tersebut. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2SB9eENjx 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment