FBI buru tiga suspek
FBI melancarkan operasi memburu tiga lelaki ini bagi membantu siasatan.
WASHINGTON - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memburu tiga individu dipercayai terbabit dengan serangan di pos kawalan Amerika Syarikat (AS) yang mengorbankan empat warganegaranya termasuk seorang Duta AS ke Libya.

Jurucakap FBI memberitahu, operasi memburu tiga lelaki itu dilancarkan sejurus FBI mendedahkan foto mereka walaupun identiti masing-masing masih belum dikenal pasti.

"Ini adalah bukti pertama dikeluarkan sejak siasatan dijalankan lebih tujuh bulan lalu," katanya.

Pengumuman terhadap bukti membabitkan tujuh keping gambar itu diambil daripada rakaman video di lokasi kejadian dan FBI menegaskan, tiga lelaki berkenaan berkemungkinan mempunyai maklumat berhubung insiden itu.

"Sebahagian foto menunjukkan seorang atau lebih daripada dua lelaki sedang  tersebut membawa senjata," katanya dipetik CNN

Bagaimanapun, pegawai penguatkuasaan undang-undang AS berkata, mereka hanya akan disoal siasat bagi membantu siasatan.

Pada 11 September lalu, Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama dua pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan seorang pegawai Jabatan Negeri terbunuh selepas terkena letupan bom yang disasarkan di bangunan diplomatik AS di Benghazi.