Friday, May 3, 2013

Polis ambil keterangan VIP



Mohd. Bakri Mohd. Zinin ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 2 Mei - Polis telah mengambil keterangan beberapa individu termasuk orang kenamaan (VIP) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan akan berlaku kekecohan semasa hari mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kumpulan yang dipercayai merancang untuk melakukan kekecohan tersebut.
Beliau sehubungan itu memberi amaran akan bertindak tegas terhadap kumpulan terbabit sekiranya mereka berdegil untuk meneruskan rancangan berkenaan.
"Jumlah dan siapa dipanggil untuk memberi keterangan tidak boleh didedahkan namun kenyataan individu tertentu telah diambil baru-baru ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak mendedahkan rancangan kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggerakkan para pengikutnya terutama orang muda untuk merusuh yang dikatakan diketuai oleh Adam Adli Abd. Halim pada hari mengundi nanti.
Adam Adli, 24, adalah individu yang menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika perhimpunan haram pada 17 Disember 2012 dan kini digantung pengajian selama tiga semester.
Mohd. Bakri seterusnya berkata, selain Pasukan Khas Cantas bagi memantau keselamatan sepanjang tempoh berkempen, pihaknya juga telah menubuhkan satu lagi pasukan khas untuk memantau dan menangani kumpulan kongsi gelap, pertubuhan serta kumpulan tertentu yang cuba mewujudkan kekacauan pada PRU-13 ini.
"Justeru, rakyat di negara ini yang berdaftar untuk keluar mengundi tidak perlu takut dan bimbang kerana semuanya terkawal.
"Pegawai dan anggota polis yang mencukupi akan ditempatkan di pusat mengundi bagi memastikan keselamatan mereka serta perjalanan proses pengundian dilaksanakan dalam keadaan aman dan teratur," katanya.
Menurut Mohd. Bakri, sebanyak 3,079 laporan diterima pihaknya sejak hari penamaan calon pada 20 April lalu sehingga semalam.
"Sebanyak 345 kertas siasatan berkaitan PRU-13 telah dibuka dan seramai 101 individu telah ditangkap dengan 20 daripadanya telah dituduh di mahkamah.
"Kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah perbuatan khianat seperti merosakkan bendera dan poster parti lawan iaitu sejumlah 90 kes dan ceramah tanpa permit (86 kes)," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130503/je_01/Polis-ambil-keterangan-VIP#ixzz2SBG4Xhq2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment