Friday, May 17, 2013

Pereka cipta topi untuk haiwan peliharaan



Topi khas rekaan Yumiko Landers, mampu ‘mengubah’ kucing menjadi singa serta haiwan-haiwan lain. - AGENSI
WASHINGTON 16 Mei - Anda mungkin sudah biasa melihat kucing peliharaan dihiasi dengan aksesori seperti baju, stokin, atau loceng, tapi pernahkah anda terfikir untuk ‘mengubah’ kucing anda menjadi singa dengan hanya memakai topi?
Kini hajat anda mampu direalisasikan kerana seorang pereka dari Seattle, Amerika Syarikat (AS), Yumiko Landers tampil dengan ciptaannya iaitu topi haiwan.
Topi haiwan yang berbentuk rambut singa itu dihasilkan dengan pelbagai warna seperti perang keemasan, hitam, kelabu dan putih kuning, malah cara pemasangannya juga sangat mudah dengan hanya perlu diikat di bawah dagu kucing atau anjing.
Landers berkata, idea tersebut muncul selepas dia mengikuti kelas menjahit yang kebetulan pada ketika itu bertemakan anjing dan kucing.
Jelasnya, dia mula terfikir untuk menghasilkan aksesori berbentuk telinga anjing untuk dipakaikan pada kucing miliknya.
“Jahitan saya bagaimanapun tidak menjadi, sebaliknya kelihatan seperti telinga arnab. Beberapa orang kawan yang melihat gambar kucing saya memakai topi itu bertanyakan jika saya boleh menghasilkan topi berbentuk telinga arnab kepada mereka.
“Sejak itu, saya mula menghasilkan banyak jenis topi haiwan dan secara tidak langsung telah ‘membantu’ kucing saya menjadi singa," katanya.
Landers turut menghasilkan topi berbentuk monyet dan harimau bintang yang dijual melalui laman web Etsy pada harga antara AS$38 (RM113) dan AS$50 (RM149).
Jelasnya, dia tidak terfikir produknya itu menjadi popular sehingga mendapat tempahan yang banyak dari seluruh dunia.
“Produk ini saya buat sendiri sepenuhnya dengan bantuan suami, termasuklah proses memotong kain, menjahit dan membungkus," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130517/lu_08/Pereka-cipta-topi-untuk-haiwan-peliharaan#ixzz2TVfjLWnm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment