Friday, May 17, 2013

Poland akan benarkan penyembelihan cara Islam



WARSAW 16 Mei - Ketika kebanyakan negara Eropah menentang penyediaan daging halal dan kosher, kerajaan Poland dijangka memperkenalkan rang undang-undang untuk membenarkan penyembelihan mengikut kaedah agama.
Rang undang-undang yang akan turut menambah beberapa perlindungan terhadap hak asasi haiwan itu akan dihujahkan di Parlimen dalam beberapa minggu lagi.
Ia dijangka diluluskan ekoran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Donald Tusk menguasai kerusi majoriti di dalam Parlimen.
Penyembelihan mengikut kaedah agama Islam atau Yahudi sebelum ini dibenarkan di Poland, namun pergerakan aktivis hak asasi haiwan berjaya memperoleh kebenaran untuk mengharamkan penyembelihan tersebut.
Namun, kemerosotan ekonomi menyebabkan kerajaan Tusk melihat kepada pengeksportan daging halal dan kosher untuk membantu membangunkan ekonomi negara.
Ini berikutan eksport daging halal dan kosher melibatkan berjuta-juta euro ke negara-negara seperti Mesir, Iran dan Israel selain pasaran orang Islam dan Yahudi di Eropah sendiri.
Eksport daging halal dan kosher turut meningkat antara 20 hingga 30 peratus setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.
Justeru, kerajaan Poland menghadapi tekanan untuk membolehkan kaedah penyembelihan tersebut dibenarkan dari segi undang-undang negara ini kerana melihatnya dari sudut ekonomi.
Bagaimanapun, ahli-ahli politik Poland turut mendapat tekanan daripada pergerakan aktivis hak asasi haiwan untuk meluluskan rang undang-undang tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130517/lu_07/Poland-akan-benarkan-penyembelihan-cara-Islam#ixzz2TVVbItap
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment