Thursday, August 14, 2014

Isu MB Selangor: Kenyataan makan diri

Isu MB Selangor: Kenyataan makan diri

Abdul Khalid (tengah) hadir mempengerusikan mesyuarat EXCO Negeri bersama empat ahli EXCO Selangor di Shah Alam, semalam. - Foto GHAZALI KORI 



Shah Alam: Kenyataan media yang diberikan lima bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) DAP dan PKR semalam memakan diri kerana tindakan itu bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata berikutan itu mereka dipecat selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan EXCO berkenaan dengan nasihat Menteri Besar, secara bertulis.

Abdul Khalid berkata, beliau berpendapat lima EXCO berkenaan tidak boleh meneruskan perkhidmatan mereka selepas mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu bekerjasama dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat EXCO bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya akan menurut kehendak parti masing-masing.

Katanya, surat mendapatkan perkenan Sultan Selangor dihantar ke Istana Selangor, kira-kira jam 2 petang kelmarin dan Pejabat Menteri Besar menerima surat memaklumkan perkenan baginda, dua jam kemudian..

Cukup korum

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hari ini mesyuarat EXCO diadakan seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat ahli EXCO dan tiga pegawai Ex-Officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan.

Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya empat ahli EXCO untuk mentadbir negeri secara sah, katanya ketika membaca kenyataan satu muka surat pada sidang media di Bilik Gerakan di Tingkat 22 Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.
Abdul Khalid berkata, memandangkan surat pemecatan dikeluarkan ketika seorang lagi EXCO PKR, Rodziah Ismail berada di luar negara, beliau akan menunggu sehingga ADUN Batu Tiga itu pulang terlebih dulu.

Katanya, beliau akan membuat keputusan membabitkan kedudukan Rodziah selepas berbincang dengannya.

Jika beliau bersetuju bekerjasama dengan EXCO sekarang, khidmatnya akan diteruskan. Kalau tidak, beliau juga akan diberikan surat penamatan tanggungjawab. Rodziah sudah bertemu dengan saya sebelum ke luar negara, katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan mendedahkan butiran pertemuannya dengan Rodziah itu.

Ditanya, berapa lama tempoh diberikan kepada semua bekas EXCO dipecat itu untuk mengemas barangan peribadi masing-masing, Abdul Khalid berkata, pada kebiasaan mereka memerlukan tempoh satu hingga dua minggu untuk berbuat demikian.

Saya dimaklumkan, ada dua pejabat EXCO sudah dikosongkan sejak Ahad lalu, katanya.

Abdul Khalid berkata, semua EXCO yang dipecat itu diberikan tempoh mencukupi untuk membawa keluar barang masing-masing, selain mengalu-alukan jika mereka mahu menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor yang akan diadakan hari ini, walaupun bukan dengan kapasiti sebagai EXCO, sekiranya mereka ada masa dan mahu menghadirinya.

Pada masa sama, Abdul Khalid mengesahkan penggunaan Stadium Malawati untuk Konvensyen Nasional PKR pada 22 hingga 24 Ogos ini, masih dibenarkan.

No comments:

Post a Comment