Thursday, August 14, 2014

Sultan perkenan pemecatan Exco


Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan surat perkenan Sultan Selangor di atas pemecatan lima Exco Selangor sewaktu sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 13 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pemecatan lima daripada enam Exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam.
Kelima-lima mereka ialah Elizabeth Wong dan Dr. Daroyah Ali dari PKR serta Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau dari DAP.
Nasib seorang lagi Exco dari PKR, iaitu Rodziah Ismail akan ditentukan selepas beliau kembali dari luar negara.
Abdul Khalid berkata, pemecatan kesemua Exco terbabit adalah sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"Saya telah menghantar surat kepada Sultan untuk mendapat perkenan baginda berhubung pemecatan kelima-lima Exco terbabit pada pukul 2 petang semalam selepas mendapat maklumat mereka tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar.
"Tuanku Sultan telah membalas surat tersebut dua jam selepas itu dan baginda berkenan membatalkan pelantikan kesemua Exco terbabit.
"Saya sedang tunggu Rodziah kembali (dari luar negara) untuk buat keputusan. Kalau dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Exco sekarang, dia boleh teruskan dan jika tidak mahu, dia juga akan diberikan surat tamat khidmat," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid mengumumkan pemecatan enam Exco daripada PKR dan DAP berkuat kuasa serta merta.
Abdul Khalid menjelaskan, kelima-lima Exco terbabit tidak boleh diteruskan berkhidmat setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar kecuali ketika menghadiri mesyuarat Exco.
Menurutnya, tindakan mereka ternyata bercanggah dengan 10 aku janji dan sumpah taat setia yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah pelantikan sebagai Exco di hadapan Sultan Selangor sebelum ini.
"Saya harap rakyat Selangor tidak keliru dengan penamatan khidmat mereka kerana dibuat secara sah. Harap rakyat bertenang," ujarnya.
Beliau menambah, kelima-lima Exco itu juga diberi masa secukupnya untuk mengosongkan pejabat masing-masing selain digalakkan untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) tetapi bukan atas kapasiti sebagai Exco.
Mengenai mesyuarat Exco hari ini tanpa kehadiran kelima-lima Exco yang sudah dipecat itu, beliau memberitahu, pelaksanaannya adalah sah mengikut Artikel 53(2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dengan kehadiran empat Exco sedia ada selain pegawai-pegawai kerajaan negeri lain.
Abdul Khalid menambah, beliau juga tidak akan melantik Exco baharu buat masa ini kerana perkara itu sudah dibincangkan dengan Sultan Selangor yang mana baginda mahukannya meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan jumlah Exco sedia ada.
"Apa yang penting pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan kebajikan rakyat dapat dijaga," ujarnya.
Ditanya mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri, Abdul Khalid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Exco sama ada mahu menamatkan khidmatnya atau terus mengekalkannya.
Pada perkembangan berkaitan jelasnya, beliau akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada PKR dan DAP selepas ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140814/po_01/Sultan-perkenan-pemecatan-Exco#ixzz3AN8CqWa0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment