Thursday, August 14, 2014

Surat peletakan jawatan Rodziah diterima


14 Ogos 2014


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya telah menerima surat peletakan jawatan daripada Rodziah Ismail sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa hari ini.
 
Beliau berkata, peletakan jawatan Rodziah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu adalah sah mengikut Artikel 53 (7) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menyatakan mana-mana exco boleh meletak jawatan pada bila-bila masa.
 
"Kita mengucapkan terima kasih kepada Rodziah atas sumbangan dan khidmat yang diberikan sepanjang menjadi Exco Kerajaan Selangor," katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.
 
Kenyataan Abdul Khalid itu sekali gus menjawab tanda tanya mengenai kedudukan Rodziah, anggota exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), berikutan dua lagi anggota exco daripada parti yang sama, Dr Daroyah Alwi dan Elizabeth Wong Keat Ping telah digugurkan oleh Menteri Besar itu.
 
Turut digugurkan ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau daripada DAP.

Semalam, Abdul Khalid dilaporkan berkata pemecatan kelima-lima exco terbabit tidak melibatkan Rodziah yang ketika itu berada di luar negara dan kedudukannya akan diputuskan selepas beliau pulang ke tanah air.
 
Rodziah bagaimanapun dalam kenyataan media pagi ini berkata beliau akur dengan keputusan parti berhubung kedudukan beliau.  - Bernama

No comments:

Post a Comment