Thursday, August 14, 2014

Turki kini – versi baru Daulah Uthmaniyah


ABD SHUKUR HARUN | .
KEMENANGAN Recep Tayyip Erdogan sebagai Presiden Turki dalam Pilhan raya Presiden negara itu minggu lalu petanda lebih jelas lagi bahawa pemimpin politik yang sangat komited dengan Islam itu menjadi pemimpin harapan baru dunia Islam, di samping mengembalikan semula Turki sebagai kuasa besar terpandang bagi dunia Islam.

Oleh itu, kemenangan beliau sangat besar ertinya bagi dunia Islam seluruh, bahkan Barat juga kebingungan menghadapi kebangkitan Turki di bawah Recep Tayyip Recep Erdogan ini.

Kebangkitan Turki ini ketika dunia Arab dan pimpinan mereka yang tenggelam dengan kemewahan, tidak berwibawa, tidak berbuat apa-apa untuk membela umat Islam di Palestin, khususnya di Gaza yang sedang berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel pimpinan Benjamin Netanyahu. Bahkan dunia Arab berperang sesama sendiri tidak habis-habisnya.

Erdogan muncul sebagai pemimpin dunia Islam yang menyerlah ketika pemimpin dunia Arab/Islam – termasuk pemimpin Liga Arab dan OIC - tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan Palestin, khususnya Gaza, yang diserang secara gila oleh rejim Israel sejak bertahun-tahun lamanya.

Bekas Perdana Menteri Turki yang menyandang jawatan itu tiga penggal berturut-turut, memenangi jawatan Presiden dalam pilihan raya umum pertama yang penuh demokratik.

Kemenangan Erdogan ini yang dianggap sebagai era baru Turki, dipercayai akan lebih banyak menerapkan nilai Islam di negara yang masih dilabel negara sekular. Erdogan sendiri tidak begitu berminat untuk meletakkan Turki dengan label ‘Negara Islam’. Padanya biarlah Turki kekal dengan negara label sekular, kerana menurutnya, pengisian Islam kepada negara itu jauh lebih penting daripada labelnya.

Erdogan memberitahu ribuan penyokongnya di anjung Ibu Pejabat partinya, AK Parti di Angkara, bahawa kemenangannya bukan saja kemenangan kepada penyokongnya, tetapi juga kemenangan seluruh rakyat Turki yang cintakan keadilan, demokrasi dan kemakmuran bersama.

Beliau meraih hampir 52 peratus undi mengatasi saingan utama beliau Ekmeleddin Ihsanoglu yang mendapat 38 peratus. Peratus kemenangannya menjadikan beliau tidak perlu melalui proses pusingan kedua kerana mendapat majoriti yang besar kali ini.

Selepas pengumuman dibuat, Erdogan dalam ucapannya berikrar akan mewujudkan ‘era baru’ dalam perhubungan rakyat di negara berkenaan.

Kemenangannya ini, bertepatan ketika umat Islam seluruh dunia mengumpul dana dan pelbagai bantuan kemanusiaan secara besar-besaran kepada Gaza yang diserang siang dan malam.

Sekumpulan NGO Turki sedang menyiapkan kapal untuk memberi bantuan ke Gaza, kali kedua dilakukannya beberapa tahun lalu, walaupun telah mengorbankan beberapa orang rakyatnya.

Di Gaza, Hamas mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kemenangannya dalam pemilihan umum lalu.

Dalam pernyataannya, yang disiarkan di Anadolu Agency, Hamas menggambarkan kemenangan Erdogan sebagai kemenangan bagi Gaza, Jerusalem dan Ramallah dan seluruh Palestin. Hamas juga menyambut baik ikrar Erdogan untuk mempertahankan Palestin.

Ini berbeza dengan reaksi dingin pemimpin negara Arab, khususnya daripada junta tentera Mesir, General al-Sisi yang kini menjadi presiden Mesir. Iaitu orang yang mengarahkan penutupan puluhan terowong Gaza yang menjadi laluan bantuan perubatan dan makanan kepada penduduk Gaza.

Kemenangan Erdogan merubah serta merta kedudukan kepimpinan Islam, yang selama ini melihat dunia Arab sebagai pemimpin dunia Islam kerana sejarahnya yang panjang, terutamanya kerana di sanalah tumbuh dan mula berkembangnya agama Islam.

Tetapi negara Arab yang mendukung fahaman perkauman Arab terpalit sejarah hitam kerana bersekongkol dengan British dan Yahudi apabila turut mempunyai saham besar meruntuhkan Pemerintahan Daulah Islamiyah Turki. Mereka ini mendukung gerakan General Mustafa Kemal Ataturk merampas kuasa daripada kerajaan Uthmanyah hingga daulah Islam terguling pada tahun 1924.

Ketika menjadi Perdana Menteri Turki selama tiga penggal, Erdogan masih membiarkan gambar Ataturk tergantung di Parlimen Turki di Ankara, dengan hujah, “Itu hanya gambar, ia tidak mengganggu kita melaksanakan Islam.”

Adapun golongan sekular, terutama dalam kalangan tentera dan pegawai kanan kerajaan hingga kini masih wujud, tetapi telah berkurangan dan berkurangan, kerana tua dan bersara. Generasi muda Turki, tidak lagi menentang Islam.

Kini Turki di bawah pimpinan Erdogan adalah Turki baru, pemimpin baru dunia Islam, berfikiran terbuka, mahu menjelmakan Islam dengan imej baru pro-demokrasi, menegakkan keadilan untuk semua rakyat, memperjuangkan kemakmurah bersama dan menjalin persahabatan dengan semua pihak.

Negara Turki yang sekian lama digelar ‘The Sick man of Europe’ kini muncul kembali sebagai negara harapan umat, gagah dan berwibawa, seperti versi baru Daulah Uthmaniyah Turki 100 tahun lalu. –HARAKAHDAILY 13/8/2014

No comments:

Post a Comment