Friday, August 22, 2014

Kuasa Sultan: Kenyataan Khalid bukan pendirian PAS


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bahawa pengguna internet (netizen) berpandangan Sultan Selangor tidak sepatutnya diberi kuasa mutlak melantik menteri besar, bukan menggambarkan pendirian PAS.

Sebaliknya kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, kenyataan Khalid itu hanya bersifat peribadi dan tidak mewakili pandangan rasmi parti.

"Ini tidak menggambarkan pendirian PAS. Ia hanya pandangan peribadi beliau.

"Pendirian PAS adalah, apa yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, di mana Tuanku merupakan kata pemutus dalam perlantikan menteri besar," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam sidang medianya semalam berkata, netizen kini sudah mula memberikan pandangan sultan tidak sepatutnya diberi hak mutlak melantik menteri besar kerana sistem yang menjadi amalan di negara ini adalah sistem raja berperlembagaan.

Katanya, komuniti netizen mula membangkitkan perkara itu ekoran krisis menteri besar di Selangor selepas PAS menyerahkan dua nama kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau mendakwa bukan sahaja pengguna internet, malah ahli akademik dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut berkata seperti itu.

Dalam pada itu, Mustafa turut mengingatkan semua pimpinan PAS agar tidak membuat kenyataan peribadi secara terbuka khususnya berkait dengan isu-isu sensitif.

"Kenyataan peribadi pemimpin PAS ini kadang-kadang disalah tafsir sebagai pendirian rasmi PAS.

"Jadi jangan buat kenyataan peribadi secara terbuka, terutama dalam perkara sensitif," tegasnya. - HARAKAHDAILY 22/8/2014

No comments:

Post a Comment