Friday, August 22, 2014

'Saya tidak mengenali penulis'


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap Father Augustus Chen yang dikatakan menulis buku bertajuk Laporan Ekuiti, hanyalah watak fiksyen yang sengaja direka semata-mata untuk mencemarkan imej beliau dan DAP.
Menurutnya, beliau tidak mengenali penulis rekaan tersebut dan sepanjang ingatannya tidak mengetahui tentang kewujudan Father Augustus Chen itu.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan kes samannya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) berhubung penyiaran satu artikel berkaitan pelantikan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Kit Siang selaku pihak plaintif berkata, akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu menyiarkan artikel bertajuk Kit Siang manipulasi CEC? yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah untuk mencemarkan reputasinya dan karier politiknya.
Namun UMMB dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 November 2013 menyatakan, artikel tersebut ditulis berkaitan satu buku kecil Laporan Ekuiti yang dikatakan disusun oleh Father Augustus Chen dan telah disebarkan kepada masyarakat umum.
Menurut Kit Siang, artikel tersebut menyatakan, beliau telah memanipulasi kedatangan delegasi dan pengiraan undi sepanjang Kongres Nasional DAP bagi memastikan kedudukannya dalam parti kekal selamat walhal baginya dakwaan itu adalah satu pembohongan yang nyata.
"Saya pernah secara terbuka selepas itu mencabar Father Augustus Chen untuk tampil ke hadapan jika dia benar-benar wujud bagi menyokong dakwaan yang dibuat di dalam bukunya itu. Kenyataan saya telah diterbitkan secara meluas oleh media massa dan juga pelbagai blog namun sehingga kini tiada sesiapapun mengenalinya," ujar Kit Siang.
Beliau menyatakan, DAP telah berulang-kali menafikan segala dakwaan dalam risalah Father Augustus Chen itu namun mendakwa Mingguan Malaysia telah menerbitkan laporan oleh Kasthuri Jeevendran, yang dianggapnya sebagai 'mengitar semula' segala dakwaan yang ditulis oleh 'penulis rekaan' itu.
Kit Siang menganggap watak tersebut sengaja direka untuk menggambarkan beliau sebagai ahli politik yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur dan tidak bermoral kerana mengeksploitasi perlembagaan DAP.
Beliau juga digambarkan sanggup memusnahkan dan mengeluarkan rakan-rakannya dalam parti itu atau sesiapa sahaja yang mahu mencabar dan menandingi demi memastikan kejayaannya dalam pemilihan CEC oleh DAP.
Kit Siang, 73, yang diwakili peguam-peguam Gobind Singh Deo dan Joanne Chua menuntut satu jumlah ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Ketika disoal pada pemeriksaan balas oleh peguam Mohd. Izral Khairy yang mewakili UMMB, Kit Siang secara konsisten menganggap artikel tersebut ditulis berlandaskan penipuan semata-mata untuk memburuk-burukkan beliau dan DAP.
UMMB dalam pernyataan pembelaannya menafikan artikel tersebut memfitnah pihak plaintif sebaliknya, syarikat itu menyatakan, artikel terbabit diterbitkan hasil penyiasatan kewartawanan, kenyataan-kenyataan dan artikel-artikel yang dibuat dalam media massa sebelum penerbitan laporan yang dikatakan berbaur fitnah tersebut.
Syarikat itu turut memberitahu, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya dalam mendapatkan dan mengesahkan maklumat yang terdapat dalam artikel berkenaan.
Defendan tunggal dalam kes saman itu turut menyatakan, artikel itu diterbitkan berlandaskan perlindungan bersyarat dan kepentingan awam.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Yeoh Wee Siam bersambung esok untuk mendengar keterangan bekas Pengarang Mingguan Malaysia yang kini Ketua Pegawai Operasi syarikat penerbitan buku terkemuka, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), Zin Mahmud yang disapina oleh pihak plaintif untuk memberi keterangan berhubung jumlah pengedaran akhbar Mingguan Malaysia.
Selain Mingguan Malaysia, artikel mengenai isu yang sama turut disiarkan akhbar New Straits Times dan rangkaian televisyen, TV3.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140822/ma_01/Saya-tidak-mengenali-penulis#ixzz3B4Pndcsv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment