• mh17

KUALA LUMPUR - Persiapan dibuat di peringkat negeri bagi membolehkan rakyat turut sama menzahirkan penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dengan mengadakan acara khusus untuk bertafakur selama seminit bersempena Hari Perkabungan Negara hari ini.

Dua puluh jenazah mangsa nahas rakyat Malaysia dijangka tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi esok dengan disambut istiadat penghormatan jenazah.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual berangkat ke KLIA bersama pemimpin lain dan anggota keluarga mangsa nahas pesawat itu, yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Waktu bertafakur selama seminit bagi menghormati jenazah tragedi pesawat MH17 dijadual berlangsung bila-bila masa seawal 10.30 pagi.

Di KUALA TERENGGANU, majlis bertafakur akan diadakan di pekarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah serentak dengan seluruh negara hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan negeri, mereka yang beragama Islam akan membacakan surah al-Fatihah manakala yang bukan Islam berdoa mengikut agama masing-masing.

Di KUANTAN, ia diadakan di Dataran Setia, pekarangan Wisma Sri Pahang dengan dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.   

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata ia turut berlangsung serentak di semua 11 daerah negeri itu di pekarangan setiap pejabat daerah.

"Selepas bertafakur selama satu minit, Adnan dijadual akan memberikan ucapan yang akan dipancarkan ke seluruh daerah," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Negeri Pahang yang dipengerusikan Adnan semalam.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri mengarahkan sebarang bentuk hiburan dihentikan sementara mulai malam ini sehingga malam esok serta bendera persekutuan dan negeri dikibar separuh tiang.

Di SEREMBAN, Wisma Negeri dan Wisma Persekutuan akan menjadi venue majlis bertafakur peringkat negeri, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.    Di

GEORGE TOWN, kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan majlis bertafakur di lobi Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) serentak dengan kerajaan Persekutuan.

"Bendera Pulau Pinang akan dikibar separuh tiang esok sebagai tanda berkabung," kata Ketua Menteri Lim Guan Eng semalam.

Beliau berkata satu skrin besar akan diletak di depan sebuah bank utama di Komtar bagi membolehkan orang ramai menyaksikan ketibaan jenazah mangsa nahas di KLIA dari Amsterdam.

Kerajaan negeri turut menasihati penganjur majlis lain dalam tempoh itu agar bertafakur seketika sebelum memulakan acara masing-masing.

Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Terdapat 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia dalam pesawat malang itu, dan setakat ini, 30 mayat dari negara ini sudah dikenal pasti. - Bernama