Friday, August 22, 2014

MH17: Pesawat MH6129 mendarat di KLIA

JUMAAT, 22 OGOS 2014 @ 10:03 AM

PESAWAT MH6129 yang membawa 20 jenazah mangsa MH17 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada jam 9.54 pagi ini.
 
KUALA LUMPUR: Pesawat MH6129 yang membawa 20 jenazah mangsa tragedi MH17 dari Amsterdam, Belanda, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.54 pagi ini.

Penerbangan pesawat khas itu milik MAS dikendalikan olah tiga juruterbang, Datuk Kapten Misman Leham, Kapten Bakr Othman dan Kapten Zaim Khalid serta dibantu pegawai penerbangan, Yap Yoon Kong.

Jutaan warga Malaysia menyambut ketibaan 20 rakan senegara yang terkorban dalam nahas di timur Ukraine, menyaksikan peristiwa sedih apabila seluruh negara diisytiharkan berkabung hari ini.

Perhatian dunia akan tertumpu di Kompleks Bunga Raya KLIA yang mana keranda jenazah diturunkan dari pesawat khas itu.

Jalur Gemilang turut dikibar separuh tiang sebagai persediaan untuk bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa tragedi itu yang mengorbankan 298 orang termasuk 43 rakyat Malaysia pada 17 Julai.

Penantian memeritkan bagi 20 waris mangsa itu bakal berakhir dengan ketibaan jenazah, 37 hari selepas pesawat awam Boeing 777 ditembak jatuh yang mengejutkan seluruh dunia.

Ini kali pertama istiadat penghormatan tertinggi tentera diberi kepada orang awam pada majlis yang berlangsung di Kompleks Bunga Raya yang biasanya dikhaskan untuk ketibaan dan pelepasan raja dan permaisuri serta ketua kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor antara orang kenamaan hadir di kompleks yang terletak bersebelahan bangunan terminal utama KLIA.

Seramai 300 anggota tentera daripada 12 Briged Infantri Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan semua jenazah akan dikendali dengan penuh hormat.

Walaupun upacara itu akan disiarkan secara langsung oleh saluran stesen televisyen tempatan, orang ramai mula berkumpul di luar premis itu seawal 7 pagi untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Sehingga kini 30 mangsa warga Malaysia nahas itu telah dikenal pasti tetapi hanya 20 yang akan dibawa pulang hari ini selepas selesai menjalani prosedur ketat sebelum diserah kepada kerajaan Malaysia.

Persediaan telah diatur untuk memindahkan jenazah dalam 17 keranda dan tiga dalam bekas abu ke tempat persemadian terakhir mereka di beberapa lokasi seperti di Muar, Segamat, Putrajaya, Ipoh, Taiping dan Gombak.

Pesawat tentera dan helikopter telah dikhaskan untuk menerbangkan jenazah ke destinasi masing-masing, termasuk lokasi paling jauh, di Kuching.

No comments:

Post a Comment