• Mohd TamyesMohd Tamyes

SHAH ALAM - Umat Islam digalakkan membaca ayat suci al-Quran atau sekurang-kurangnya menyedekahkan al-Fatihah diiringi doa bagi memohon keampunan dan kesejahteraan terhadap jenazah MH17 yang tiba di Malaysia, hari ini.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, umat Islam juga boleh memakai pakaian berwarna gelap atau suram sempena Hari Berkabung Negara, hari ini, bagi menghormati keluarga yang terlibat dalam nahas itu.

“Keluarga mangsa juga kalau boleh janganlah terlalu meratap pemergian ahli keluarga mereka dalam nahas ini. Mereka sepatutnya gembira kerana mangsa yang meninggal dunia ini sudah dikira sebagai mati syahid akhirat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Islam telah memberikan tatacara atau garis panduan yang perlu diikuti untuk menghormati jenazah dan apa yang lebih baik ialah menghadiahkan doa buat mangsa tragedi supaya ia boleh memberi manfaat untuk mereka yang sudah meninggal dunia.