KUALA LUMPUR -  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar dua pegawainya bagi mengiringi bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail ke negara itu berhubung kes dakwaan pecah rumah dan gangguan seksual.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, Rizalman dihantar pulang semula ke Wellington bagi menghadapi pertuduhan mahkamah di sana.

Zulkifeli menambah Kementerian Pertahanan akan memantau dan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung kes tersebut.

"Mengikut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar hari ini, kementerian terbabit akan bekerjasama dengan pihak Peguam Negara dalam hal itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Maal Hijrah Tahun 1436H/2014M di Masjid Khalid Al-Walid, di sini hari ini.

Zulkifeli bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana dikhuatiri akan menganggu siasatan.  

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei lepas dan dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Beliau sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu.

Terdahulu, Zulkifeli melawat kira-kira 50 gerai yang dibuka selama tiga hari bermula hari ini, anjuran bersama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). - Bernama