Menurut laporan Mail Online yang memetik kenyataan Philip Groves, 35, anak perempuannya, Trinity Groves, 10, menggunakan telefon pintar jenis Nokia miliknya untuk menonton video terbabit, selepas rangkaian jalur lebar di rumah mereka tidak berfungsi.
Jelas Philip yang berasal dari Shrewsbury, Shropshire, Trinity memuat turun beratus-ratus video yang menunjukkan cara membuat gelang getah dengan jumlah kesemuanya selama 28 jam pada bulan lalu, menyebabkan dia menerima bil sebanyak 1,411 pound (RM7,390).
Namun, katanya, selepas menghubungi syarikat telekomunikasi, Vodafone untuk mempertikaikan jumlah tersebut dan membatalkan talian yang digunanya, dia dikenakan bayaran tambahan untuk kos pembatalan kontrak sebanyak 381 pound (RM1,995).
“Sepatutnya saya dimaklumkan oleh Vodafone tentang penggunaan Internet oleh anak saya yang mahu belajar untuk membuat gelang getah dan ditunjukkan pada rakan-rakannya di sekolah.
“Kini bil terbaharu saya yang diterima pada 15 Oktober lalu sudah berjumlah 1,792.84 pound (RM9,385) dan diberi masa sehingga Ahad ini untuk menyelesaikan tunggakan tersebut,” katanya sambil menambah dia kemungkinan terpaksa menjual van yang digunakan untuk bekerja bagi menampung kos terbabit selepas pihak Vodafone mengugut mahu membawa kes itu ke mahkamah.
Anaknya, Trinity berkata, dia berasa sedih apabila mengetahui beban yang ditanggung oleh ayahnya akibat perbuatannya menonton video klip cara membuat gelang getah itu.
“Saya suka menonton video tersebut yang menunjukkan bermacam teknik baharu dan cara membuat gelang getah dan terpaksa berhenti menontonnya kerana ayah perlu menanggung kos yang besar akibat perbuatan saya,” katanya.