Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak berikutan kegiatan mesin judi haram yang terus berleluasa biar pun serbuan demi serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Paparan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh pihak berkuasa da­lam menyerbu premis-premis kegiat­an haram itu ternyata sama sekali tidak mengentarkan sindiket, malah ada antaranya beroperasi semula hanya be­berapa jam selepas serbuah dilakukan.
Apa yang lebih malang di Me­laka, contohnya, terdapat sindiket melakukan penyambungan haram bagi mendapatkan bekalan elektrik selepas ia dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira 24 jam selepas serbuan dilakukan.
Menurut satu sumber, kegiatan mesin judi haram terus berleluasa di beberapa negeri khususnya di Melaka, Selangor, Sabah dan Kedah yang sekali gus membuktikan sindiket perbuatan jenayah itu masih belum dapat ditumpaskan sehingga ke akar umbi.
Sumber itu menegaskan, salah satu punca utama ialah pihak ber­kuasa tidak menggunakan segala peruntukan dalam undang-undang bagi memastikan pemilik premis yang menjalankan kegiatan ber­kenaan tidak lagi beroperasi.
“Terdapat undang-undang yang jelas, akaun mereka yang terlibat dalam jenayah termasuk mesin judi boleh dibekukan, tetapi malangnya peruntukan ini tidak digunakan sehingga memungkinkan pemilik-pemilik itu beroperasi semula,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber tersebut tidak menafikan amalan rasuah terus menjadi ‘tembok penghalang’ terbesar kepada usaha kerajaan bagi menghapuskan kegiatan mesin judi haram apabila ada anggota agensi penguat kuasa menerima habuan daripada sindiket.
“Masalah ini masih belum selesai, sindiket menjalankan kegiatan se­perti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Ia seolah-olah menampakkan pihak berkuasa khususnya PBT dan polis seperti hilang kawalan untuk membanteras gejala tersebut.
“Sesuatu perlu dilakukan dengan lebih serius dan tegas bagi mengelakkan kegiatan mesin judi haram dianggap perbuatan jenayah biasa yang tidak mempunyai apa-apa kesan kepada masyarakat,’’ katanya.
Selain itu, sumber tersebut tidak menafikan peranan ahli politik di beberapa buah negeri bersekongkol dengan sindiket menyebabkan ke­giatan haram itu tidak mampu dihapuskan sehingga ke hari ini.
“Pihak berkuasa melakukan tindakan susulan setiap kali serbuan dilakukan bagi memastikan premis yang diserbu tidak beroperasi semula, tetapi malangnya keadaan itu tidak terjadi sehingga menyebabkan sindiket terus bermaharajalela,’’ kata sumber berkenaan.