Saturday, October 25, 2014

Serangan liberalisme untuk rosakkan umat Islam


Kuala Lumpur: “Saya melihat semua ini adalah serangan Islam liberal yang sedang merosakkan umat Islam di Malaysia. Serangan ini dilakukan secara berterusan dan kita tidak tahu apa lagi yang akan dilakukan mereka selepas ini,” kata pendakwah dan penceramah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Beliau diminta mengulas mengenai penyebaran gambar anjing dipakaikan serban dan jubah yang disiarkan di media sosial, sekali gus sebagai penghinaan kepada umat Islam terutama ulama di negara ini.

Penyebaran gambar itu dikesan ketika isu penganjuran program kontroversi ‘I Want To Touch A Dog’ belum pun reda apabila menerima kecaman umat Islam dan golongan ulama.

Ahmad Dusuki berkata, serangan liberalisme sudah dibuktikan dengan beberapa isu sebelum ini seperti seorang wanita menjadi imam di luar negara serta penganjuran minum pesta minum arak Oktoberfest.

“Antara cubaan untuk memusnahkan Islam di Malaysia ialah dengan memasukkan liberalisme. Mereka bermain dengan sensitiviti agama yang ia ditimbulkan sedikit demi sedikit untuk menjadikan orang ramai terbiasa atau kalih.

“Seperti juga isu buang anak yang mana jika dulu ia mengejutkan masyarakat dan sering menjadi isu besar di akhbar namun lama-kelamaan ia jadi biasa,” katanya.

Semalam, Mufti Selangor Datuk Mohamad Tamyes Abdul Wahid menyifatkan tindakan menyebar gambar itu adalah satu agenda menjijikkan yang tidak menghormati golongan ulama yang selama ini sentiasa memberi pandangan baik kepada masyarakat dan memberi garis panduan untuk bergerak melaksanakan tugas berkaitan hukum hakam.

Selain itu, Ahmad Dusuki menegaskan liberalisme bukanlah dianggap sebagai satu ‘kemodenan’ dalam kalangan umat Islam, tetapi satu keterlanjuran.

Katanya, ia hanya dilihat sebagai perancangan musuh semata-mata untuk menghancurkan agama Islam di negara ini.

“Liberalisme ini bukan kemodenan tetapi perancangan musuh untuk menghancurkan agama. Moden yang sebenar adalah mengikut syariat, kalau tidak ia bukan kemodenan, tetapi keterlanjuran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:07 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4014#sthash.cUQZIoPj.dpuf

No comments:

Post a Comment