Peserta protes pro demokrasi masih meneruskan bantahan di Hong Kong. - Foto: AFP
Peserta protes pro demokrasi masih meneruskan bantahan di Hong Kong. - Foto: AFP
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Kerajaan China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak campur tangan dalam protes pro demokrasi yang semakin meruncing di Hong Kong.

Menteri Luarnya, Wang Yi berkata situasi yang berlaku di Hong Kong adalah masalah dalaman China dan menegaskan semua kerajaan asing harus menghormati kedaulatannya.

"Kerajaan China amat tegas dalam hal ini. Mana-mana kerajaan atau kumpulan tidak boleh bertindak sesuka hati kerana ianya bakal menggugat ketenteraman awam," kata Yi selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry, semalam.

Sebelum ini, AS menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan China menahan puluhan penunjuk perasaan yang bertindak melancarkan protes bagi menggesa peletakan jawatan pemimpin demokrasinya, Leung Chun-Ying.

Menurut AS, China sepatutnya menggunakan budi bicara dan membenarkan rakyatnya berkumpul bagi menyatakan pandangan mereka secara aman.

Namun tegas Yi, tindakan China adalah wajar dan berkata AS akan mengambil pendekatan sama jika situasi tersebut berlaku di negaranya.

Difahamkan, penunjuk perasaan terus menghalang laluan utama pengangkutan dan pelajar mengancam untuk meningkatkan bantahan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi termasuk peletakan jawatan Chung-Ying dan menarik balik pelan reformasi pilihan raya yang diumumkan Beijing.

Polis memaklumkan lebih 70 orang cedera sejak bantahan dimulakan minggu lalu, dipetik dari laporan IBT