Friday, October 3, 2014

Cukuplah 'kenaikan harga minyak tidak membebankan'


ZURAIDA MOHD NOOR | .
1. Kenaikan harga petrol dan penurunan subsidi merupakan bukti kedangkalan pihak pemerintah dalam menangani masalah kegawatan ekonomi dan sumber kewangan kerajaan. Seringkali apabila kerajaan mengalami masalah kewangan, subsidi rakyat yang menjadi mangsa pemotongan.

2. Kerajaan mengatakan bahawa mereka ingin membantu meringankan beban rakyat dengan memberikan BR1M yang mana hanya dapat dimanfaatkan oleh 7.9 juta rakyat. Penerima BR1M hanya meliputi 40% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimana dengan kesan langsung yang dirasakan oleh 60% lagi rakyat malaysia yang tidak layak menerima BR1M? Apakah kerajaan pasti mereka tidak merasakan kesusahan akibat kenaikan tersebut.

3. Menurut kenyataan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), tiada sebab tertentu di atas kenaikan tersebut. Ameerah Negeri Terengganu merasakan kerajaan harus menjelaskan sebab yang munasabah berkaitan kenaikan harga dan pemotongan subsidi tersebut. Ini adalah kerana menurut infomine.com harga petrol pada 1 Oktober 2014 adalah USD 97.14/tong sedangkan pada tahun 1 Oktober 2013 harga petrol adalah USD 108/ tong. Ia merupakan penurunan harga yang agak banyak.

4. Berdasarkan alasan menaikkan harga minyak kerana harga pasaran minyak dunia naik, maka kerajaan sepatutnya menurunkan harga petrol bukan sebaliknya. Ameerah Negeri Terengganu mengharapkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu ini.

5. Kami juga mengharapkan kematangan dan kebijaksanaan PM menguruskan aset negara dengan mengemukakan rancangan pengurangan belanja pengurusan dan bukan hanya mengajar rakyat yang sedia tersepit berjimat-cermat.

6. Golongan muda semestinya antara yang paling merasai kesan kenaikan harga minyak. Golongan muda meliputi pelajar, pemegang pinjaman pelajaran, golongan baru mula bekerja dan berkeluarga antara yang paling pasti terbeban memikirkan masa depan.

7. Setiap kali kenaikan harga petrol, kerajaan mengeluarkan kenyataan sama saban tahun “Kenaikan harga minyak tidak membebankan”. Janji manis untuk melaksanakan pantauan agar tidak berlaku kenaikan harga barang juga hanya tinggal janji. Kenyataan yang sudah tidak releven dan tidak ingin kami dengar lagi. Cukuplah. Kami menanti kenyataan dan tindakan dari pimpinan yang lebih rasional dan bijak.

Penulis ialah Pengerusi Ameerah Terengganu.

No comments:

Post a Comment