Friday, October 3, 2014

Gaji MB, Exco Dipotong - Azmin


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 12:44 PM

GOMBAK: Gaji menteri besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor akan dipotong di bawah pentadbiran menteri besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata, kenaikan elaun pada 2013 adalah terlalu tinggi dan ia perlu dibincangkan semula.

"Saya mengambil pendirian awal bahawa gaji menteri besar, ahli MMKN, Speaker dan Timbalan Speaker akan dipotong ke satu tahap yang munasabah.

"Kenaikan pada 2013 itu terlalu tinggi dan saya tak boleh berdepan dengan rakyat yang berdepan masalah kos kenaikan," katanya kepada pemberita ketika melawat Pejabat Daerah dan Tanah GOmbak di sini, Jumaat.

Menurut Azmin, pendirian itu adalah selaras dengan perancangan Belanjawan 2015 yang bermatlamat mengurangkan belanja pengurusan sebaliknya meningkatkan belanja pembangunan.

Jelasnya, kekayaan Selangor perlu dibelanjakan untuk pembangunan mengikut teras seperti pendidikan, perumahan di samping kebajikan.

"Pertambahan peruntukan mesti dalam bentuk pembangunan, bukan dalam bentuk keraian, elaun atau gaji," katanya.

Katanya strategi itu berbeza dengan belanjawan peringkat Persekutuan di mana 80 peratus dibelanjakan untuk tujuan mengurus dan 20 peratus untuk pembangunan.

Bagaimanapun, Azmin berkata, nisbahnya masih dalam perbincangan dan akan diumumkan tidak lama lagi.
mstar

No comments:

Post a Comment