Friday, October 3, 2014

Hampir Semua Jemaah Haji Malaysia Tiba Di Arafah


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 5:20 PM
Suasana di pandang Arafah yang dipenuhi khemah yang menempatkan jemaah haji seluruh dunia.

ARAFAH: Kesemua jemaah haji, kecuali yang masih di Hospital Arab Saudi, kini telah berada di padang Arafah untuk wukuf, yang merupakan rukun dan kemuncak ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, usaha sedang dijalankan untuk membawa mereka ke Arafah walaupun untuk seketika.

Waktu wukuf bermula apabila tergelincirnya matahari iaitu masuknya waktu zohor Jumaat dan berakhir sebelum terbitnya matahari iaitu sebelum masuk waktu Subuh Sabtu.

Jamil Khir berkata, kesemua jemaah haji Malaysia, termasuk yang dirawat di dua pusat rawatan Tabung Haji iaitu Pusat Rawatan Syisyah dan Pusat Rawatan Azizah telah dibawa ke Arafah, kira-kira 22 kilometer dari Mekah secara berperingkat-peringkat sejak pukul 10.15 pagi hingga jam 10.30 malam Khamis.

Tahun ini 22,320 jemaah Malaysia mengerjakan haji dan sehingga kini lima jemaah haji telah meninggal dunia di tanah suci.

Beliau berkata, demikian kepada media Malaysia selepas mengadakan lawatan selama sejam ke khemah jemaah haji di sini pagi Jumaat.

Jamil Khir berkata, kesemua jemaah haji berada dalam keadaan yang baik dan sedang siap bersedia untuk masuknya waktu wukuf yang hanya beberapa jam lagi. Malah cuaca yang cerah memudahkan jemaah haji membuat persiapan.

Mengenai khutbah Arafahnya pada Jumaat, beliau berkata, ianya akan menyentuh mengenai keberkatan haji tahun ini yang jatuh pada Jumaat yang merupakan penghulu semua hari.

Selain itu, haji terakhir Nabi Muhammad sebelum beliau wafat adalah juga jatuh pada Jumaat dengan meninggalkan pesanan dan amanat yang penting untuk umat Islam praktikkan terutama mengenai penjagaan terhadap keluarga.

Jamil Khir semasa bertemu dengan jemaah haji Malaysia turut mengucapkan selamat menjalankan ibadah wukuf dan diberkati dengan haji mabrur kepada mereka.

Jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Muzdalifah untuk bermabit, selepas Maghrib. 
mstar

No comments:

Post a Comment