Friday, October 3, 2014

Wisma Putra - New Zealand Kerjasama Hantar Balik Rizalman


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 1:18 PM

PETALING JAYA: Kementerian Luar sedang berurusan dengan kerajaan New Zealand untuk menghantar balik Pegawai Warran II Muhammad Rizalman Ismail.

"Proses mengekstradisi Rizalman dilaksanakan berlandaskan semangat kerjasama rapat yang sedia terjalin dalam hal perundangan antara Malaysia dan New Zealand, selain mengambil kira tiadanya perjanjian ekstradisi antara kedua negara.

“Malaysia and New Zealand komited untuk menyokong amalan adil dan menjunjung kedaulatan undang-undang bagi memastikan Rizalman melalui perbicaraan yang saksama terhadap pertuduhan ke atasnya," kata kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia dan New Zealand berbincang tentang prosedur perundangan yang diperlukan untuk membolehkan Muhammad Rizalman berdepan pertuduhan  pecah rumah dan serangan dengan niat merogol dan ini akan dilakukan sejajar dengan undang-undang antarabangsa serta dalam negeri.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei tahun ini dan dihadapkan di mahkamah pada hari berikutnya bagi menghadapi tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu sidang akhbar di Putrajaya pada 1 Julai bahawa Muhammad Rizalman dan keluarganya pulang ke Malaysia dengan persetujuan pihak New Zealand.

Malahan, persetujuan juga dibuat untuk menghantar Muhammad Rizalman balik ke negara berkenaan untuk membantu siasatan, bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan.

Anifah berkata, dalam perbincangan tentang perkara itu antara pegawai Malaysia dan New Zealand pada 12 Mei, pihak New Zealand menawarkan pilihan bagi tertuduh untuk dibawa pulang ke Malaysia.
mstar

No comments:

Post a Comment