Friday, October 3, 2014

MH17: Keputusan Masuk Semula Ke Lokasi Nahas Ditentukan Australia, Belanda - Hishammuddin


Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2014 1:46 PM
Hishammuddin Hussein.

SEPANG: Malaysia menyerahkan kepada pihak berkuasa Australia dan Belanda bagi memutuskan masa sesuai untuk memasuki semula lokasi kejadian nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di timur Ukraine, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bilangan besar mangsa adalah dari dua negara itu serta risiko yang perlu diambil pasukan keselamatan untuk ke lokasi kejadian yang masih bergolak.
"Saya dah bincang dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, oleh kerana jumlah penumpang terbesar adalah dari Australia dan Belanda, maka kita memutus membenarkan mereka membuat keputusan bila kita boleh masuk semula ke tempat kejadian," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas istiadat penghormatan lima jenazah mangsa tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Jumaat, Hishammuddin menjelaskan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi berbahaya di lokasi nahas yang boleh menjejaskan pasukan keselamatan ketiga-tiga negara.
Berhubung jangkaan bila pasukan keselamatan boleh kembali semula ke lokasi kejadian, beliau menegaskan bahawa tiada tempoh masa ditetapkan untuk berbuat demikian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan baki dua lagi mayat warganegara Malaysia, termasuk dalam kumpulan mayat yang sedang dikenal pasti di Amsterdam, Belanda.
"Jika mayat-mayat itu adalah warganegara Malaysia, maka kita tidak perlu lagi turun ke lokasi nahas untuk mencari dan membawa pulang mayat," katanya.
Berkaitan pemilihan dan penempatan penasihat pertahanan di Kiev, Ukraine, Hishammuddin berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.
"Senarai nama telah ada, cuma kita sedang kenal pasti mereka yang benar-benar sesuai," katanya sambil menambah penempatan itu bakal memantapkan jalinan kerjasama antara dua negara susulan insiden MH17.
Sementara itu, Liow berkata setakat ini sebanyak 262 identiti mangsa daripada 298 penumpang dan anak kapal tragedi MH17 telah dikenal pasti.
Beliau berharap dua jenazah rakyat Malaysia yang belum dikenal pasti termasuk dalam 27 jenazah yang dalam proses identifikasi di Pusat Perubatan Tentera Hilversum, Amsterdam.
Mengenai siasatan tragedi MH17, Liow berkata siasatan dari Malaysia akan diteruskan dalam aspek teknikal dan jenayah.
Beliau berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pasukan penyiasat Belanda telah mengadakan perbincangan mendalam untuk menganalisas laporan awal yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB).
"Kita berharap laporan itu dapat membantu siasatan untuk dapatkan bukti kukuh untuk membawa penjenayah ke mahkamah antarabangsa," katanya.
Pesawat Boeing 777-200 penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Namun, sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
Selain 44 warga Malaysia termasuk seorang yang mempunyai dua kerakyatan, penumpang pesawat itu terdiri daripada 193 warga Belanda dan 38 warga Australia.
Penumpang lain adalah dari Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Laporan awal DSB pada 9 September lepas, antara lain menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'.
mstar

No comments:

Post a Comment