Sunday, June 14, 2015

Penjara Guatanamo Bay dalam proses penutupan

Penjara Guatanamo
Foto tahanan Guatanamo Bay menyempurnakan ibadat solat. - Foto CNN

CUBA - AMERIKA SYARIKAT (AS) hari ini mengumumkan pemindahan enam tahanan penjara penjara Guatanamo Bay ke Oman dalam usaha menutup penjara tersebut, semalam.
 
Menurut laporan CNN, keenam-enam tahanan yang berasal dari Yaman didakwa atas penglibatan dengan kumpulan pengganas, al-Qaeda.
 
Pemindahan terkini tersebut menjadikan jumlah tahanan yang masih tinggal di penjara tersebut sebanyak 116 orang.
 
Presiden AS, Barack Obama mengeluarkan arahan esekutif pada Januari 2009 supaya memulakan proses penutup penjara tersebut.
 
"Kerajaan AS berterima kasih terhadap kerajaan Oman dalam memberi bantuan kemanusiaan dan kesudiaan untuk menyokong usaha AS menutup penjara tahanan Guatanamo Bay," dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pertahanan.
 
 
AS sebelum ini cuba mencari negara yang mampu mengawal dan juga memberikan hak asasi manusia kepada bekas tahanan.
 
 
Tahanan dari negara yang terlibat konflik dengan pengganas, contoh Yaman, tidak akan dikembalikan ke negara asal untuk mengelak mereka menyertai semula pengganas.
 
Tahanan yang dipindahkan adalah Idris Ahmad 'Abd Al Qadir Idris, Sharaf Ahmad Muhammad Mas'ud, Jalal Salam Awad Awad, Saa'd Nasser Moqbil Al Azani, Emad Abdallah Hassan dan Muhammad Ali Salem Al Zarnuki.

TOK JANGGUT MENENTANG KERANA CUKAI YANG TINGGI DIKENAKAN KEPADA RAKYAT..!!! MARI BELAJAR SEJARAH...



TOK JANGGUT atau HAJI MAT HASSAN
(i) Latar belakang
– nama sebenar Haji Mat Hassan bin Munas
– dikenali sebagai Tok Janggut kerana beliau menyimpan janggut hingga ke paras dada
– dilahirkan tahun 1853 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan
– mendapat pendidikan pondok di Kelantan dan Makkah
– mahir dalam ilmu persilatan
– menetap di Kampung Nering, Kelantan
– bekerja sebagai petani dan peniaga
FAKTOR PENENTANGAN
a)British memperkenalkan peraturan cukai tanah yang mewajibkan petani membayar cukai tanah pada tahun 1915.
b)Petani dikenakan pelbagai cukai yang membebankan seperti cukai pokok kelapa yang berbuah,cukai pokok pinang,cukai daun sirih dan ternakan lembu serta kerbau.
c)Kesukaran membayar cukai kerana pejabat cukai terletak di bandar.Penduduk yang gagal membayar cukai akan di tangkap dan didenda.Sikap biadap pengawai British yang bertugas menimbulkan kemarahan penduduk terhadap British.
d)Sentimen anti-British meningkat apabila kerajaan Turki Uthmaniyah menyeru umat Islam berjihad menentang penjajah Barat.Tok Janggut menyahut seruan tersebut dengan melancarkan penentangan terhadap British di Pasir Puteh.
:: TOK JANGGUT PEJUANG JIHAD ::
erjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.
Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.
Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.
Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.
Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.
Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.
Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.
Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.
Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.
Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.
Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.
Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.
Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.
Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.
Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.
Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.
Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.
Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.
Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.
Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.
Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.
Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.
Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.
Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.
Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.
Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.
Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

Thursday, June 11, 2015

Gambar kahwin ‘simbol’ MERS

Seoul: Gambar kahwin sepasang pengantin baru bersama tetamu dengan semuanya memakai topeng yang diambil sebagai gurauan menjadi viral dan secara tidak disangka mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana seolah-olah membayangkan betapa teruknya penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di negara itu.
Gambar pasangan itu bersama keluarga dan rakan memakai topeng muka tersebar secara meluas di media sosial selepas dirakam pada majlis perkahwinan mereka, Sabtu lalu.
“Ia sangat menakutkan dan menyedihkan,” kata seorang pengguna Facebook yang memberi komen terhadap gambar terbabit.
Bagaimanapun, perancang perkahwinan pasangan itu Hwang Myung-Hwan meminta orang ramai supaya tidak terlalu mengambil serius mengenainya malah, katanya, pasangan itu yang kini berbulan madu terkejut dengan berita penyebaran gambar itu.
Katanya, majlis perkahwinan itu diadakan seperti ‘biasa’ di Seoul.
“Mereka mengambil gambar berkumpulan seperti biasa, namun mereka memutuskan mahu melakukan lain daripada yang lain,” katanya.
Menurut Hwang, syarikat mereka mengedarkan 200 topeng itu sebagai mesej kepada pasangan itu untuk menjalani kehidupan yang sihat bersama.
“Mereka tidak bermaksud untuk mencetuskan kebimbangan mahupun menakutkan orang ramai terhadap wabak MERS,” katanya.
Sehingga semalam, 100 orang disahkan dijangkiti virus itu. Tujuh daripada mereka maut. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:17 AM


GAMBAR kahwin pasangan itu yang menjadi viral.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56792#sthash.uOlBTy3T.dpuf

Aceh haram wanita keluar rumah selepas 11 malam


Banda Aceh: Pihak berkuasa Banda Aceh semalam mengharamkan wanita berada di luar rumah atau bekerja selepas jam 11 malam bagi melindungi mereka daripada fitnah dan jenayah.

Datuk Bandar Aceh, Illiza Sa’aduddin Djamal berkata, wanita diharamkan berada di luar rumah dan lokasi hiburan seperti pusat sukan dan restoran selepas jam 11 malam.

Wanita juga diharamkan bekerja di premis seperti itu selepas waktu yang ditetapkan itu.

“Lokasi tumpuan seperti restoran dan pusat sukan diarahkan untuk tidak menerima pelanggan wanita selepas jam 11 malam melainkan mereka ditemani suami atau saudara lelaki.

“Majikan juga diarahkan supaya tidak membenarkan pekerja wanita bekerja melebihi waktu itu,” katanya.

Illiza berkata, walaupun peraturan itu dikritik kumpulan hak asasi manusia, langkah itu bertujuan melindungi wanita.

“Tujuan kami melindungi wanita termasuk yang bekerja di lokasi tumpuan pelancong seperti kafe Internet, pusat sukan dan restoran,” jelasnya.

Menurutnya, wanita yang didapati melanggar undang-undang itu akan diberi amaran manakala majikan atau pemilik perniagaan yang membenarkan wanita berada di premis mereka mungkin ditarik lesen perniagaan.

Wilayah Aceh yang mempunyai kuasa autonomi menguatkuasakan undang-undang Syariah termasuk melarang wanita berpakaian ketat.

Pengarah Suruhanjaya Kebangsaan untuk keganasan terhadap wanita, Azriana mengecam peraturan berkenaan yang dianggapnya menyekat kebebasan wanita. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:20 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56798#sthash.X21IpRsk.dpuf

Wednesday, June 10, 2015

Belanda ikrar bantu pembinaan semula Nepal

gempa bumi Nepal
Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal. - Foto EPA
9 Jun 2015

 KATHMANDU - NEPAL . Belanda mengikrarkan bantuan bagi pembinaan‎ semula dan pemulihan di Nepal berikutan gempa bumi kuat yang memusnahkan harta benda bernilai berbilion dolar (ringgit).

Menteri Perdagangan Asing dan Kerjasama Pembangunan Belanda, Lilianne Ploumen yang berada di Kathmandu bagi menilai tahap kerosakan akibat gempa bumi pada 25 April lepas dan gempa susulan yang kuat berkata, Belanda berhasrat untuk membantu Nepal dalam kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula melalui Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan keperluan sebenar.

"Kerajaan Belanda menyediakan 10 juta Euro (RM42.59 juta) untuk Nepal bagi bantuan segera kepada rakyat yang terjejas dengan bencana itu manakala pertubuhan bukan kerajaan Belanda, menerusi rakan kongsi tempatan di Nepal telah membelanjakan kira-kira 20 juta Euro (RM85.19 juta).

"Kami akan bekerjasama dengan Bank Dunia dan agensi PBB dalam fasa seterusnya bagi membantu kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula," katanya. Belanda merupakan antara penyumbang terbesar kepada Tabung Tindakan Kecemasan PBB dan Program Makanan Dunia," kata Ploumen dalam sidang akhbar di Kathmandu pada Isnin pada akhir lawatan dua harinya di Nepal.

Ploumen berkata, Belanda akan mengambil bahagian dalam persidangan penderma‎ yang akan dianjurkan oleh kerajaan Nepal bagi mengumpul dana untuk proses pemulihan mangsa gempa bumi dan pembinaan semula infrastruktur fizikal yang musnah.‎

"Kami akan menyertai persidangan penderma ini. Ia akan menjadi peluang yang baik untuk Nepal berbincang dengan komuniti penderma mengenai rancangan pemulihan dan pembinaan semula," katanya.

Nepal berhasrat untuk menganjurkan persidangan penderma di Kathmandu pada 25 Jun ini bagi mengumpul dana yang diperlukan untuk pembinaan semula.

Ploumen meminta kerajaan Nepal menyediakan Penilaian Keperluan Pasca Bencana (PDNA) yang komprehensif dan rancangannya untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan dan pembinaan semula semasa persidangan itu dan penderma akan memberikan sumbangan berdasarkan keperluan sebenar.

"Persidangan ini tidak seharusnya diadakan sekali sahaja, ia harus ada tindakan susulan daripada persidangan itu," kata menteri itu.

"Penduduk Nepal hidup dengan aman dalam komunitinya walaupun mereka kehilangan segala-galanya. Saya dapati mereka cuba untuk berdepan dengan situasi itu bersama-sama," katanya selepas melawat penempatan yang terjejas akibat gempa bumi.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April lepas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 8,700 orang.

Belanda merupakan antara negara yang bertindak pantas menghulurkan bantuan selepas gempa bumi itu. - Bernama

Dr Hayat Sindi ikon sains wanita Islam

Dr Hayat Sindi ikon sains wanita Islam
Dr Hayat Sindi
MARLISSA MOHAMMAD KAMAL

 9 Jun 2015

SAINTIS perubatan Arab Saudi, Dr Hayat Sindi ini memberi sumbangan yang besar terhadap ujian perubatan dan bioteknologi. Beliau juga merupakan salah seorang wanita yang menganggotai Majlis al-Shura.

Selain itu, Hayat turut menduduki tangga ke-19 dalam senarai orang Arab paling berpengaruh di dunia dan berada di kedudukan ke-9 dalam senarai wanita Arab paling berpengaruh.


Kehidupan Awal

Hayat Sindi dilahirkan pada 1967 di Makkah dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan mempunyai lapan adik beradik.
Selepas tamat sekolah menengah, beliau meneruskan pengajian di kolej dan mengambil jurusan perubatan.
Ketika itu, Hayat mula menunjukkan minat dalam bidang penyelidikan dan beliau nekad untuk melanjutkan pengajiannya ke luar negara pada 1991.
Pada mulanya, hasrat tersebut mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya, namun mereka akhirnya akur dengan keputusan wanita tersebut.
Hayat mengambil masa kira-kira setahun untuk belajar bahasa Inggeris dan menyambung pengajian peringkat A-level.
Beliau akhirnya diterima masuk ke King’s College London, di mana wanita tersebut berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam farmakologi pada 1995.
Ketika masih menuntut, Hayat pernah berdepan tekanan hanya kerana beliau bertudung.
Bagaimanapun, beliau lantang mempertahankan haknya dengan menegaskan bahawa agama, warna kulit dan jantina seseorang tidak mempunyai kaitan dengan sumbangan saintifik.


Jalankan banyak kajian

Hayat pernah bekerja di Pusat Penyelidikan Makmal Schlumberger di Cambridge ketika beliau menyambung pengajian di peringkat ijazah kedoktoran.
Ketika itu, beliau berjaya mencipta Magnetic Acoustic Resonator Sensor (Mars) kerana wanita tersebut memerlukan mesin yang tepat dalam kajiannya.
Mesin tersebut menggabungkan kesan cahaya dan ultrabunyi untuk kegunaan dalam bidang bioteknologi serta aplikasi dalam bidang lain seperti perubatan termasuk mengesan barah pada peringkat awal.
Selepas beberapa tahun melakukan penyelidikan, Hayat akhirnya dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang bioteknologi, sekali gus menjadi wanita Arab dan Islam pertama yang memperoleh PHD dalam bidang tersebut.
Selepas tamat pengajian, Hayat berhasrat membantu individu yang tidak mampu untuk membayar kos penjagaan perubatan.
Hayat berhijrah ke Amerika Syarikat, di mana beliau mengikuti program MBA di Harvard Business School dalam bidang mengkomersialkan sains dan teknologi tinggi.
Ketika menuntut di Harvard, beliau mengikuti kelas Profesor George Whitesides yang menggunakan kertas dan pita pelekat untuk menghasilkan alat yang dapat mengukur paras protein dan gula dalam darah serta air kencing.
Idea tersebut memberi inspirasi kepada Hayat untuk menubuhkan pasukan terdiri daripada rakan sekuliahnya untuk mewujudkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Diagnostics for All.
NGO tersebut menawarkan alat diagnostik mikro untuk membolehkan pekerja kesihatan menjalankan tugas mereka walaupun tanpa akses rawatan perubatan.
Tidak lama selepas itu, Hayat membuka syarikat bukan berasaskan keuntungan, Paper Diagnostics Inc (PDI) bersama Whitesides yang bertujuan untuk mewujudkan hidup lebih berkualiti dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Isteri kuat bebel punca cerai

Isteri kuat bebel punca cerai
Aluwi (kiri) dan Razaly (tengah) menyampaikan anugerah tokoh cemerlang kepada pendaftar dan penolong pendaftar perkahwinan, semalam.
HAFEZDZULLAH MOHD HASSAN
SHAH ALAM - Isteri kuat membebel antara sebab utama berlakunya kes perceraian di negeri ini, demikian pendedahan Ketua Pendaftar, Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Aluwi Parman.

Menurut Aluwi, kes isteri membebel sering dibangkitkan oleh suami apabila mereka memfailkan perceraian.

"Kes ini adalah antara yang tertinggi di bawah masalah tabiat kritikal pasangan.

“Ia sering dirujuk ke mahkamah kerana suami tidak tahan dengan tabiat kritikal isteri yang kuat membebel itu,” katanya pada sidang media Program Muzakarah, Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam Peringkat Negeri Selangor, semalam.  

Aluwi berkata, kebanyakan kes perceraian di Selangor juga melibatkan pasangan berusia antara 35 hingga 40 tahun.

Katanya, ia berpunca daripada lima jenis masalah utama melibatkan kejahilan terhadap agama, masalah ekonomi, campur tangan orang ketiga, anak dan tabiat kritikal seperti yang dinyatakan.

Menurutnya, kes perceraian ini dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun dan jumlahnya dianggarkan mencecah hampir 7,000 pada tahun 2015.

Sementara itu, seramai 220 pendaftar dan penolong pendaftar perkahwinan hadir ke program berkenaan dan 13 daripadanya terpilih menerima anugerah tokoh cemerlang kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Anugerah disampaikan oleh Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Razaly Hassan.

Wanita berkain batik di JPJ jadi viral

WARTAWAN SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Seorang wanita tidak berpuas hati apabila disuruh memakai kain sarung sebelum dibenarkan berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Wanita yang dikenali sebagai Suzanne itu menyatakan ketidakpuasan hati menerusi akaun Facebook miliknya yang menyebabkan perkara itu menjadi viral.

Menurut Suzanne, dia mengunjungi pejabat JPJ bagi urusan perpindahan milik kenderaan yang dijualnya.

Suzanne yang memakai baju berwarna merah jambu dan skirt merah mendakwa didekati seorang kakitangan JPJ di belakang kaunter mengambil nombor giliran dan diberi sehelai kain batik.

Dakwanya, dia seterusnya diberitahu agar memakai kain itu atau tidak akan dilayan.

“Saya memakai pakaian seperti ini, tidak sopankah?

“Hanya perlu duduk di hadapan cermin kaunter yang mana hanya bahagian-bahagian hadapan badan saya saja yang dilihat oleh pegawai berkenaan. Saya tidak tahu sama ada ingin ketawa atau menangis,” katanya dalam status yang dimuat naik.

Wanita itu kemudiannya memuat naik tiga keping gambar yang menunjukkan luar premis, sebelum memakai kain batik dan dua lagi ketika berada dalam bangunan dan menjalankan urusan.

Difahamkan, kejadian berlaku di pejabat JPJ Wangsa Maju.

JPJ dalam satu kenyataan memohon maaf kepada wanita tersebut selain memberitahu tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

“JPJ ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang menyatakan bahawa pelanggan perlu diberikan kain sarung jika mereka tidak menepati garis panduan kod etika pakaian.

“Pihak JPJ berasa amat kesal dengan kejadian ini dan memohon maaf,” kata kenyataan itu lagi.

Siapa mohon injuksi halang hudud wajar rasa malu

FATHIN ATHIRAH HASLI

Nasruddin Hassan
Nasruddin Hassan
SHAH ALAM – Mana-mana ahli Parlimen beragama Muslim yang memohon perintah injunksi mahkamah untuk menghalang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang Rang Undang-Undang Persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat wajar berasa malu.

Ahli Jawantankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan berkata, ia bagaikan satu usaha untuk menghalang hukum ALLAH diperteguhkan di negara ini.

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak mahupun individu untuk berbuat demikian.  Jika ia dilihat wajar bagi mana-mana pihak, maka silakan mengikut lunas perundangan yang sewajarnya.

“Cuma, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya malu kerana menghalang usaha untuk memperteguh hukum hakam ALLAH di negara ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh berkata, partinya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghalang usaha ini selain menegaskan, tujuan penubuhan Pas adalah  untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan negara berlandaskan nilai hidup Islam.

“… Pas tidak pernah berkompromi dengan tujuan penubuhannya sehingga ke hari ini. Pas hanya mengambil pendekatan secara berperingkat-peringkat, berdasarkan situasi semasa dan tanpa menggunakan kaedah agresif.

“Usaha pelaksanaan hudud khususnya di negeri Kelantan telah berjalan sebelum 1993 lagi. Pelbagai penerangan dan kempen telah giat dijalankan bagi memastikan rakyat memahami dengan jelas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) yang akan diimplementasikan di bumi Serambi Makkah ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara khusus bagi yang beragama Islam bersetuju dengan pembentangan RUU tersebut.

Tuesday, June 9, 2015

Pendengaran Kes Saman Anwar Ibrahim Ditetap Pada 2 September


Diterbitkan: Isnin, 8 Jun 2015 12:01 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 2 Sept untuk mendengar kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei lepas.
Timbalan Pendaftar Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri Peguam Persekutuan M. Kogilambigai yang mewakili SPR, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad.
Pada 6 Mei lepas, Anwar, yang juga bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di bawah Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.
Selain menuntut pampasan dan kos, Anwar turut menuntut defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan haknya sebagai pengundi.
Anwar, 68, dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa pada 30 April lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada SPR dan Abdul Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.
Beliau berkata sehingga hari ini tiada jawapan daripada SPR dan Abdul Aziz, oleh itu tindakan mereka telah menafikan haknya sebagai pengundi dan ia bertentangan dengan Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata deklarasi yang dipohon itu adalah untuk menegakkan haknya untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh dan pada mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Beliau mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan Permatang Pauh sebelum dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lepas dan telah mengundi di kawasan itu pada PRU ke-13 dua tahun lepas.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.

PAS Cabar DAP Bubar DUN Pulau Pinang


Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2015 4:39 PM

PETALING JAYA: Perbalahan antara dua sekutu pakatan pembangkang semakin tidak terkawal apabila PAS mencabar supaya DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembubaran DUN Pulau Pinang adalah wajar bagi mengukur kemampuan DAP yang disifatkan sombong dan angkuh.
"DAP jangan terlalu angkuh. Jika benar mahu tahu kekuatan sebenar DAP tanpa sokongan PAS, cubalah bubarkan DUN Pulau Pinang sekarang dan tengok jawatan mana yang DAP boleh pegang dalam kerajaan yang baharu nanti.
"Masih boleh angkuh? Masih boleh sombong? Masih boleh tamak?" katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasmi Dewan Ulama PAS Pusat.
Mengulas lanjut Ahmad Amzad menasihatkan ahli dan pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang supaya terus mempertahankan kedudukan masing-masing.
"Kita bukan mendapat jawatan atas belas kasihan DAP. Kita pegang jawatan kerana kita yang bantu naikkan mereka. Yang bermaruah adalah kita, yang sombong, angkuh dan tamak haloba adalah mereka.
"Kalau mereka nak pecat, biar mereka pecat. Kita nak tengok rupa sebenar DAP yang selama ini mengingatkan kerajaan BN (Barisan Nasional) bahawa ini adalah kerajaan rakyat, harta rakyat, bukan milik Umno, bukan milik BN.
"Begitu juga Pulau Pinang, ini milik rakyat, harta rakyat, bukan milik pusaka Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bukan milik DAP," katanya.
Ahmad Amzad berkata demikian bagi mengulas mengenai gesaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP supaya pemimpin dan ahli PAS melepaskan pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri pimpinannya.
Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu adalah individu pertama mengumumkan perletakan jawatan sebagai Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.
Keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat.
Turut mengikut jejak Mohamad ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengumumkan peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

Hanya terima rupiah

Bandung: Pelancong Malaysia dan peniaga di bandar ini yang didapati menggunakan mata wang Ringgit Malaysia (RM) untuk berurus niaga boleh didakwa di mahkamah.
Ketua Cawangan Bank Indonesia (BI) Jawa Barat, Rosmaya Hadi berkata, urus niaga menggunakan mata wang asing selain rupiah satu kesalahan dan boleh didakwa.
“Peraturan BI hanya membenarkan urus niaga menggunakan mata wang rupiah.
“Sebarang transaksi perniagaan menggunakan mata wang asing termasuk RM diharamkan,” katanya di sini semalam.
Rosmaya memberi amaran itu ketika meninjau harga barangan di Pasar Baru dan pusat membeli-belah popular lain di bandar ini sempena kedatangan bulan Ramadan.
Pasar Baru antara lokasi tumpuan pelancong dari Malaysia yang datang ke bandar ini untuk membeli-belah.
Sebelum ini, pelancong asing berdepan kesukaran untuk menukar wang kerana kekurangan perkhidmatan pengurup wang di Pasar Baru.
Ujarnya, BI menerima banyak aduan mengenai tindakan pelancong dari Malaysia dan peniaga yang berurus niaga menggunakan mata wang RM.
“Kini terdapat lima penggurup wang di Pasar Baru yang dibuka sehingga pasar raya itu ditutup.
“Selepas ini tiada alasan lagi untuk tidak menggunakan mata wang Rupiah ketika berbelanja di sini,” jelasnya.
Menurutnya, pihak berkuasa akan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pelancong serta peniaga yang masih berdegil dengan menggunakan mata wang asing.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:15 AM


SEKUMPULAN pelancong membeli-belah di sebuah kedai di Pasar Baru di Bandung.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56571#sthash.EMpUMWuu.dpuf

'Sudah cerai talak tiga, tak boleh sebantal'

'Sudah cerai talak tiga, tak boleh sebantal'

SHAH ALAM – “Sudah cerai talak tiga, takkan boleh tidur sebantal lagi. Dulu rakan sama taraf, sekarang kedudukan seperti rakan kongsi majoriti dan minoriti,” demikian Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Datuk Teng Chang Khim mengibaratkan hubungan kerjasama politik antara DAP dan Pas Selangor.
Menurutnya, sekiranya Pas ingin mengekalkan jawatan dalam kerajaan negeri, maka minoriti wajar mematuhi majoriti dan jika tidak boleh terima ketetapan itu, berpisah adalah jalannya.

“Sekiranya Pas masih berhasrat mengekalkan jawatan dalam Kerajaan Selangor, mereka hendaklah mengakui dan menerima hakikat bahawa parti itu tidak boleh lagi menjadi penentu dasar, sebaliknya mematuhi semua keputusan dasar kerajaan negeri yang dianggotai DAP dan PKR.

“Jika Pas tidak boleh menerima hakikat ini, cara terhormat dan bermaruah ialah meletakkan jawatan dalam Kerajaan Selangor,” katanya. 

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) dan Perdagangan dan Pengangkutan menegaskan, memandangkan Pas membuat keputusan melalui resolusi memutuskan hubungan dengan DAP,  pilihannya terhad.

Dalam pada itu, ketika ditanya potensi Pas dan Umno bergabung bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor, Adun Sungai Pinang itu menyifatkan tindakan berkenaan taktik paling keji kerana Umno ialah parti yang ditolak rakyat dalam pilihan raya.

“Usaha bergabung dengan Umno adalah mengkhianati rakyat. Bahkan terdapat Adun Pas yang bermaruah tidak akan bersetuju dengan penggabungan Pas dan Umno di Selangor. Gabungan Pas dan Umno tidak akan berjaya kerana tiada majoriti,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Selangor tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PR termasuk DAP.
Beliau menegaskan Exco Pas negeri itu akan terus melaksanakan tugas dan tidak berhasrat meletakkan jawatan.

Najib tiba di Sabah, lawat mangsa gempa

Najib tiba di Sabah, lawat mangsa gempa
Foto Ihsan FB Najib Razak

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Sabah pagi ini untuk meninjau kesan gempa bumi yang berlaku Jumaat lepas dan melawat penduduk yang menjadi mangsa di Ranau dan Kundasang.

Ketibaan Najib dengan pesawat khas disambut oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Timbalan
Ketua Menteri Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan dan anggota-anggota Kabinet di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Najib kemudian berlepas ke Ranau menggunakan helikopter dan dijadual mendarat di Padang Pekan Ranau.

Beliau dijangka melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau pada pukul 12 tengah hari, sebelum berangkat mendengar taklimat bencana di Restoran Liwagu.

Selepas taklimat itu, beliau akan menyerahkan bantuan kepada mangsa dan waris mangsa terkorban dalam gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu.

Perdana menteri dijadual berangkat pulang ke Kuala Lumpur petang ini. - Bernama

Pas sudah tekad, tak akan patah balik

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar


Beliau berkata, kredibiliti parti itu akan tercalar sekiranya berpatah balik daripada keputusan usul tanpa bahas pada muktamar lalu.

“Jika kita berpatah balik, pasti orang Islam di negara ini akan memandang negatif terhadap Pas yang memperjuangkan Islam.

“Pasti mereka (orang Islam) akan kata Pas tidak konsisten. Jadi imej kami akan buruk,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Mahfuz berkata, sekiranya Pas berpatah balik untuk bekerjasama semula dengan DAP rakyat akan melihat bahawa Pas lebih mementingkan jawatan berbanding prinsip parti.

Menurutnya, usul memutuskan hubungan DAP yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Dewan Ulama Pas pusat telah di bawa oleh ahli jawatankuasanya sendiri.

“Sebenarnya sebahagian Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama adalah Ahli Majlis Syura Ulama. Jadi secara prinsipnya Majlis Syura telah memutuskannya.

“Apa pun kita tunggu ia dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Syura nanti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cubaan PKR untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan DAP dan Pas dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

“Itu satu usaha yang sangat sukar kerana usul yang dibawa Dewan Ulama Pas sudah menggariskan sembilan alasan tentang keperluan untuk putus kerjasama dengan DAP,” katanya.

Ditanya adakah Pas akan mengarahkan ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan Selangor turut meletakkan jawatan seperti yang digesa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, Mahfuz berkata ia bergantung kepada PKR.

“Selangor dan Pulau Pinang adalah berbeza. Di Pulau Pinang DAP boleh memerintah tanpa Pas, begitu juga sekiranya tanpa PKR.

“Namun begitu di Selangor ia terpulang kepada PKR. Jika mereka mahu bersama Pas, DAP perlu berundur. Kalau PKR mahu bersama DAP, Pas terpaksa berundur,” katanya.

Ditanya lagi, adakah Pas akan bekerjasama dengan BN di Selangor, Mahfuz berkata perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Moral politiknya, kita tidak akan bekerjasama dengan BN. Pas boleh jadi komponen besar bagi kerajaan pakatan,” katanya.

Anwar kesal, mahu Pas kaji semula usul ‘cerai’ DAP

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Ketika kemelut kian meruncing dek keputusan Pas memutuskan kerjasama politiknya dengan DAP,  Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menzahirkan kekesalan dan mahu parti Islam itu mengkaji semula usul yang diluluskan pada muktamar lalu.

Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, DAP telah lama menjadi rakan seperjuangan dalam PR malah menyifatkan parti itu komited dalam perjuangan untuk membawa perubahan.

“Saya amat risau dengan perkembangan terkini berkenaan Pakatan Rakyat, yang telah diwujudkan sebagai alternatif kepada sistem politik yang gagal dan urus tadbir kerajaan yang lemah di bawah Barisan Nasional.

"Saya gesa rakan politik kami Pas untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas, dan agar ia tidak dilaksana pada ketika ini," ujar Anwar seperti disampaikan Biro Politik PKR, N. Surendran ketika melawat Anwar di penjara.

Tambah Anwar, ketika BN juga dalam keadaan teruk kini, pergeseran dalam PR tidak sepatutnya berlaku kerana perikatan itu disifatkan sebagai alternatif kepada rakyat.

"Rakyat terbelenggu dengan GST dan hutang mahabesar 1MDB; manakala polemik perkauman dan agama masih belum reda.

"Adalah menjadi harapan besar rakyat agar Pakatan Rakyat terus mara untuk menyelesai masalah-masalah politik dan ekonomi yang semakin teruk di bawah pentadbiran BN," katanya.

Menurut Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, Anwar turut menghantar pesanan khusus kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Muktamar Tahunan Pas ke-61 minggu lalu memutuskan menerima usul Dewan Ulama Pas supaya Majlis Syura dan Pas Pusat memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP tetapi kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat.

Usul yang diputuskan dalam muktamar Dewan tersebut diterima tanpa bahas.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menerima keputusan Pas itu kemudian tampil dengan gesaan supaya semua wakil Pas yang berkhidmat di bawah kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya meletakkan jawatan.

Gesaan Guan Eng itu turut disusuli dengan kenyataan, DAP tidak memerlukan orang tengah untuk menyelesaikan perselisihan di antara Pas dan DAP.

Teknologi 3D pisah kembar siam


Pasangan kembar siam perempuan yang tidak dinamakan, akan dipisahkan
Pasangan kembar siam perempuan yang tidak dinamakan, akan dipisahkan menggunakan teknologi pencetakan 3D buat kali pertama oleh pakar perubatan Hospital Kanak-Kanak Universiti Fujan di Shanghai. AGENSI
BEIJING 8 Jun – Sepasang kembar siam perempuan di China akan dipisahkan menerusi penggunaan teknologi pencetakan tiga dimensi (3D), kaedah pertama digunakan bagi memisahkan pasangan kembar siam di negara ini.
Prosedur berkenaan akan dijalankan esok oleh Hospital Kanak-Kanak Universiti Fudan di Shanghai selepas pasangan kembar yang tidak dinamakan itu, mencapai berat yang bersesuaian iaitu 9.55 kilogram dan bersedia menjalani pembedahan.
Menurut laporan portal People’s Daily, kembar yang lahir pada 17 Mac lalu, bercantum di bahagian pinggul dan berkongsi bahagian kemaluan, sekali gus menjadi ca­baran baharu kepada pihak hospital untuk memisahkan mereka.
“Pihak hospital akan menggunakan teknologi pencetakan 3D untuk membina semula bahagian organ yang bercantum sebagai simulasi bagi keseluruhan pembedahan.
“Pembedahan dijangka mengambil masa sehingga lima jam termasuk proses pemisahan, pemulihan sistem saraf, dan pembentukan semula bahagian kemaluan,” jelas laporan itu yang memetik kenyataan sumber hospital.
Sebuah kumpulan kebajikan yang enggan dikenali mendermakan wang sebanyak 200,000 yuan (RM122,349) bagi menampung keseluruhan kos pembedahan.
Sejak tahun 2000, pihak hospital terbabit telah berjaya memisahkan enam pasangan kembar siam termasuk empat pasangan kembar siam simetri dan dua pasangan kembar siam asimetri.
Semua pasangan terlibat bercantum di bahagian dada dan perut selain membentuk kedudukan jantung yang tidak normal.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/teknologi-3d-pisah-kembar-siam-1.100613#sthash.58nIQ9Ov.dpuf

Parti Erdogan gagal kekal majoriti


Undian AKP turun hampir 50 peratus, Turki bakal diperintah kerajaan campuran

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu (kanan) dan isterinya,

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu (kanan) dan isterinya, Sare melambai kepada penyokong AKP di ibu pejabat parti itu di Ankara, kelmarin. REUTERS
ANKARA 8 Jun - Harapan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk mengukuhkan kuasa­nya dalam pemerintahan, terjejas teruk selepas parti pimpinannya, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) gagal mengekalkan kerusi majoriti dalam Pilihan Raya Parlimen yang berlangsung semalam.
Berdasarkan keputusan awal lewat semalam, AKP memenangi 40.86 peratus undian keseluruhan, penurunan hampir 50 peratus berbanding kemenangan yang diperoleh pada pilihan raya 2011, sekali gus menamatkan penguasaan majoriti parti itu di Parlimen sejak 12 tahun lalu.
Pilihan raya kali ini juga menyaksikan peningkatan mendadak par­ti pro-Kurdish, Parti Demokratik Rakyat (H­DP) yang meraih 13.12 peratus undian untuk memboleh­kan parti itu memasuki Parlimen buat kali pertama.
Undang-undang Turki menetapkan parti bertanding memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus undian untuk membolehkan ahli mereka dilantik sebagai anggota Parlimen.
Selain itu, Parti Republik Rakyat (CHP) mendapat 24.96 peratus undian disusuli Par­ti Pergerakan Nasionalis (MHP) sebanyak 16.29 peratus selepas 98 peratus keseluruh­an undian telah dikira.
Berdasarkan paparan rasmi kerusi di Parlimen, AKP memperoleh 258 kerusi daripada jumlah keseluruhan 550 kerusi, manakala CHP memiliki 132 kerusi disusuli MHP dan HDP masing-masing sebanyak 80 kerusi.
Mengikut sistem perwakilan Turki, AKP perlu membentuk satu kerajaan campuran buat kali pertama sejak parti itu mula memerintah pada 2002.
Keputusan rasmi pilihan raya terbabit hanya boleh diketahui dalam tempoh 11 hingga 12 hari lagi.
Dalam reaksinya, Erdogan berkata, berdasarkan keputusan itu, tiada parti boleh memerintah secara tungggal.
“Saya percaya, keputusan pi­lih­an raya ini yang tidak memberi kemenangan mutlak kepada mana-mana parti untuk memerintah, akan dinilai dengan realistik,” ujarnya.
Beliau pada masa sama, turut meminta semua pihak memelihara kestabilan politik di Turki.
Presiden itu juga menyifatkan, peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 86 peratus, memperlihatkan kesungguhan rakyat melaksanakan demokrasi. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/parti-erdogan-gagal-kekal-majoriti-1.100620#sthash.CvhqR6B3.dpuf